UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) merangkul tempat pertama dan kedua pertandingan ROBOCON Peringkat Kebangsaan 2010 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan UTM membolot hadiah lumayan selain mewakili negara ke pertandingan ROBOCON peringkat antarabangsa di Kaherah, Mesir, September ini. Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata kejayaan itu menobatkan UTM institusi unggul yang berkemampuan melahirkan kecemerlangan akademik dan praktikal.
Beliau berkata, sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang, UTM berusaha mengembangkan jenamanya hingga peringkat antarabangsa.
"Kemenangan itu satu bonus, sekali gus menjadi pemangkin awal UTM membina nama dan jenama hingga peringkat dunia. "Juga bukan sekadar mahu melahirkan graduan cemerlang akademik, ia mencakupi pelbagai bidang, sekali gus membantu penjanaan tenaga kerja mahir, berkualiti, profesional serta berdaya saing," katanya.
Bertemakan 'Robot Pharaoh Builds Pyramid', setiap pasukan dikehendaki membina piramid dalam tempoh tiga minit menggunakan sebuah robot manual dan dua atau lebih robot automatik. Sebanyak 55 pasukan terdiri daripada pelbagai institusi mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung enam hari itu yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi, SIRIM, Radio Televisyen Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Sejak diperkenalkan pada 2002, UTM bergelar juara lima kali dan berazam menambahbaik robot manual dan membina robot automatik baru bergerak lebih pantas dan tepat.
0 comments: