Showing posts with label respon. Show all posts
Showing posts with label respon. Show all posts

Pentadbiran UTM digesa ikuti jejak langkah pentadbiran UPM

  • Dalam suatu perbincangan antara Naib Canselor UPM, Prof Dato Nik Mustapha R. Abdullah dengan 6 orang wakil Pro-Mahasiswa UPM berhubung tuntutan pilihan raya kampus bersih dan adil yang diadakan petang tadi, beliau memberi jaminan tiadanya campurtangan pengurusan kolej dan MTM kolej dalam proses pilihan raya kampus kali ini.

    Jaminan ini diberi berikutan berlakunya tekanan daripada pengetua dan pengurusan kolej terhadap calon yang bertanding bukan tajaan daripada BHEP dalam beberapa sesi pilihan raya kampus UPM sebelum ini.

    “Pengurusan kolej dan MTM kolej tidak berhak membuat sebarang ugutan terhadap mana-mana calon yang bertanding”, tambahnya lagi.

    Menurut beliau lagi, semua mahasiswa berhak untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kampus kali ini samada menjadi calon bagi proses pilihan raya kali ini mahupun terlibat dalam proses kempen calon.

    Menurut Naib Canselor UPM itu lagi beberapa tuntutan yang dikemukakan wakil Pro-Mahasiswa ini akan dipertimbangkan dan ditunaikan. Antaranya adalah menyediakan layar bagi keputusan pengundian semasa dan badan pemantau bebas di kalangan mahasiswa sendiri.

    “Kami melihat, satu proses pemurnian dalam demokrasi kampus UPM bakal terealisasi hasil daripada perbincangan ini”, ujar Ahmad Faris Rakbi, Pengerusi Pro Mahasiswa UPM yang mengetuai delegasi bertemu Naib Canselor petang tadi.

    Sumber - http://promahasiswaupm.wordpress.com

  • *Catatan :

    Pihak pentadbiran UTM seharusnya mengambil kira dan mempertimbangkan tuntutan dalam memorandum yang telah hantar kepada yang berbahagia Naib Canselor, Prof Dato' Dr.Ir Zaini Ujang baru-baru ini.

    Usaha murni pihak pentadbiran USM dilihat salah satu penghargaan kepada intelektualisme mahasiswa dalam memimpin bukan memperbudakkan. Ini berbeza dengan situasi yang berlaku di UTM dimana jentera pentadbiran seolah-olah dikerah untuk melawan Pro Mahasiswa pada pilihanraya kampus kali ini dengan melakukan sekatan maklumat dan sebagainya.

  • Sumber - Pro Mahasiswa UTM

    PMIUTM mengutuk tindakan bakar gereja


    Laporan oleh : Abdul Azim Bin Abd Jamil

    Skudai,9 Jan 2010 – Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUTM) mengutuk sekeras-kerasnya terhadap perbuatan membakar tiga buah gereja di Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati; Gereja Assumption Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara. Insiden membaling bom buatan sendiri ke atas tiga gereja tersebut jelas memalukan pihak PMIUTM yang menganggap perbuatan tersebut menjatuhkan air muka rakyat Malaysia yang diajar mencintai kedamaian.

    Presiden PMIUTM, Saudara Mohd Khairul Bin Abdullah Halim ketika ditemui berkata dengan nada tegas dan komited bahawa pihak PMIUTM menganggap individu-individu yang melakukan perkara ini sebagai melakukannya berdasarkan emosi dan bukan pertimbangan agama.

    “Saya mewakili PMIUTM mengutuk sekeras-kerasnya insiden yang berlaku ini. Islam tidak pernah menganjurkan umatnya untuk melakukan perkara seperti ini. Islam sendiri mengarahkan tentera-tenteranya agar tidak membakar dan memusnahkan rumah-rumah ibadat penganut agama lain ketika peperangan. Jadi, jelas bahawa sekiranya individu-individu yang melakukan perbuatan membakar tiga gereja tersebut adalah daripada umat Islam maka mereka jelas tidak faham apa yang dianjurkan oleh Islam dan melakukannya berdasarkan emosi semata-mata dan tidak menjadikan Al-Quran serta As-Sunnah sebagai panduan.

    “PMIUTM juga mengharapkan isu ini tidak dipolitikkan untuk kepentingan mana-mana pihak. Kami juga tidak mahu mana-mana pihak bercakap tanpa kefahaman yang jelas terhadap isu ini. Perbuatan tersebut boleh mengeruhkan lagi keaadaan.

    “Atas dasar itu, PMIUTM tidak mahu isu ini berlanjutan dan ia harus diselesaikan dengan cara yang cukup baik dan harmoni. PMIUTM juga membuka ruang seluasnya kepada persatuan mahasiswa agama lain untuk duduk berbincang bersama kami bagi memastikan keharmonian antara agama dapat dijaga dan mengelakkan persengketaan.

    Sementara itu Naib Presiden 2 PMIUTM, Saudari Saidatun Nor Binti Awang juga bersependapat dengan Presiden PMIUTM. Beliau yang mewakili suara mahasiswi Islam UTM turut melahirkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku ini.

    “Mahasiswi Islam UTM kesal dengan apa yang berlaku. Individu-individu yang melakukan perkara ini sengaja mahu mencetuskan sengketa antara agama. Mereka berfikiran sempit dan tidak melihat kesan jangka panjang yang bakal dihadapi akibat tindakan mereka ini.

    “PMIUTM juga melalui Lujnah Penerangan dan Multimedia (LPM) juga sedang cuba untuk menghantar satu kertas kerja memohon kelulusan bagi melakukan forum atau ceramah jelas isu terhadap isu ini. Pihak kami mengharapkan kertas kerja ini diterima agar isu ini dapat diperjelaskan kepada mahasiswa Islam kampus UTM supaya tidak timbul bibit-bibit persengketaan terhadap agama lain dikalangan mahasiswa Islam kampus.

    Dalam kejadian tengah malam semalam,pejabat pentadbiran di tingkat bawah bangunan gereja tersebut hangus terbakar.Kerosakan tersebut sangat teruk sehingga mengakibatkan keseluruhan bangunan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi.

    sumber : pmiutm.blogspot.com

    Suara Mahasiswa - "Mahasiswa Abad 21"

    Oleh : Kembara mencari erti hidup

    Mahasiswa abad 21 merupakan himpunan kertas kerja yang di bentangkan oleh beberapa orang ahli akademik dan ilmuan tanah air yang terkenal. Gabungan pemikiran dan penulisan yang terkandung di dalam buku ini amat sesuai untuk dijadikan santapan minda bagi para Mahasiswa untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta memupuk budaya membaca dan semangat untuk terus menimba ilmu tanpa jemu.


    Ketika Universiti Malaya sebagai universiti pertama yang mula-mula ditubuhkan, Suruhanjaya Carr Saunders yang bertanggungjawab membentuk universiti itu menyatakan:

    "...it is not enough to arm graduates with the ability to exercise high professional skill, it is also the aim of a university education to enlarge the sphere of interest to sharpen sensibility, to quicken perceptivity adn to deepen sympathy"

    Ini selaras dengan apa yang cuba di impikan oleh yang berbahagia Naib Canselor UTM dalam bukunya Mengangkasa Pengajian Tinggi. Dato' Naib Canselor dalam ulasannya ketika membincangkan soal tranformasi diri ahli akademik menekankan bahawa :

    "Transformasi tidak seharusnya hanya terhad kepada soal 'Kerjaya' melibatkan syarat kelayakan akademik, pangkat, sasaran kerja, bahkan perlu dicernakan dalam bentuk aspirasi, nilai, sikap, komitmen, cara hidup dan sumbangan dalam bentuk magnum opus.."

    Dalam satu kertas kerja disediakan Prof Emiritus Dato' Khoo Kay Kim berkenaan pandangan beliau terhadap Mahasiswa dulu dan Kini, beliau membuat kesimpulan bahawa mahasiswa sekarang perlu lebih banyak dibimbing berbanding mahasiswa dulu yang lebih pro aktif dan tidak dinafikan juga, mahasiswa dulu "lebih nakal" tetapi mereka mampu menjaga diri mereka sendiri.

    Ini mungkin disebabkan sistem pendidikan IPT yang diamalkan sekarang cenderung kepada pendapat bahawa Mahasiswa mesti "diajar", berbeza dengan mahasiswa dahulu yang lebih menekankan konsep "mendidik". Mahasiswa dulu lebih bebas dalam menjalankan aktiviti tanpa campur tangan pihak universiti tetapi pada masa kini ruang itu dilihat semakin sempit dengan pelbagai prosedur yang ketat. Mahasiswa dulu juga dilihat begitu vokal dalam memberikan pandangan kini dilihat semakin lesu dan hilang taringnya. Isu yang dibawa juga lebih bersifat "kulit" dan tidak mendasar.

    Saya ingin menyentuh sedikit Isu semasa yang berlaku di UTM berkenaan sekatan yang dilakukan terhadap mahasiswa UTM baru-baru ini apabila blog rasmi Pro Mahasiswa disekat daripada dikunjungi oleh mahasiswa. Kita dapat gambarkan sekatan terhadap Pro Mahasiswa ini ibarat ketakutan terhadap"air pasang yang apabila dilepaskan boleh menghasilkan tenaga yang besar." Manakala berlaku sebaliknya apabila "air cetek yang kurang memberi tenaga tetap dibiarkan terus mengalir". Mungkin saya agak berfalsafah tetapi tidak mengapa, anda cuba faham-fahamkan.

    Disini, saya ingin mengajak para pembaca khususnya pihak pentadbiran Universiti kepada satu tajuk yang mungkin kita terlepas pandang dalam agenda pembangunan Mahasiswa pada hari ini.

    Penghakupayaan Mahasiswa atau "Student Empowerment"

    Definisi Penghakupayaan:

    “Membolehkan dan mendapatkan mahasiswa/masyarakat sivil untuk memahami dan bertindak atas semua isu (seperti peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala yang di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya”.

    Dalam salah satu kertas kerja yang ditulis oleh Dato' Saifuddin Abdullah ,Timbalan Menteri Pengajian tinggi, yang dikumpulkan bersama dalam buku Mahasiswa Abad 21 ini telah mencoretkan pandangan beliau berkenaan kerangka baru gerakan Mahasiswa. Sebahagian perbahasan berkenaan tulisan beliau juga telah diabadikan dalam buku beliau iaitu "Kalau Saya Mahasiswa".

    (klik sini untuk download)

    Umumnya, apabila membincangkan gerakan mahasiswa, akan terjumpa beberapa ungkapan yang sinonim dengannya, seperti: “kumpulan pendesak (pressure group)”, “watch dog”, “tradisi mencabar”, “student rebellion”, “student revolt”, ”student resistance”, “student power”, “bersama rakyat” dan sebagainya. Ada waktunya, masyarakat memberikan pula ungkapan yang tidak begitu sesuai sebagai reaksi: “rebel without cause” dan “angry young men” dan bermacam-macam lagi.

    Kita kembali kepada denifisi diatas dan cuba teliti betapa mahasiswa seharusnya diberi kebebasan untuk bersuara tanpa perlu disekat. Ini kerana tempoh pengajian 3 hingga 4 tahun adalah tempoh untuk mahasiswa belajar disamping membina prinsip dalam diri. Majoriti mahasiswa tidak mampu berfikir untuk diri sendiri atau untuk negara, lantas mereka hanya diminta (baca: diarah) untuk menjadi pengikut dasar dan sebagai peserta program atau pembuat program sahaja.

    Cara-cara tradisional yang “dari atas ke bawah”, “memaksa ketaatan”, “mengekalkan conformity” dan “menghukum apabila silap” perlu DITAMATKAN. Kerajaan, universiti dan golongan dewasa perlu membimbing, menyokong dan menjadi teladan. Masyarakat sivil jangan lagi diperbodohkan. Mahasiswa jangan lagi diperbudakkan. Jelas Saifuddin Abdullah, Menteri Pengajian Tinggi.

    Justeru, amat tidak relevan sekiranya kita terus mengongkong dan menyekat mahasiswa dalam pada masa yang sama gagasan Budaya Ilmu cuba diwujudkan. Kita perlu faham bahawa kritikan itu tidak semestinya membenci, bersetuju tidak semestinya menyokong dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

    Budaya syaja'ah iaitu “Mengiayakan yang benar dan menidakkan yang bukan” dalam kerangka membina dan menyuburkan semula gerakan mahasiswa perlu di hidupkan. Inilah yang dinamai syaja’ah. Iaitu berani kerana benar dan takut kerana salah. Prinsip dan perangai yang sihat ini sewajarnya dipegang utuh, dijiwai dan dibudayakan oleh generasi muda amnya dan mahasiswa khususnya ke arah meluruskan ufuk minda dan sekaligus mengangkat martabat gerakan mahasiswa itu sendiri. Wallahua'lam.

    Suara Mahasiswa - "Pilihanraya Kampus : Bila & Harapan Mahasiswa"


    Oleh : Suara Kita

    Bila?

    Desas-desus mengenai pilihanraya kampus semakin hangat diperkatan di weblog daripada warga Universiti Teknologi Malaysia dan tidak kurang juga di kampus-kampus utama yang lain.

    Penulis mendapat khabar angin pilihanraya akan diadakan serentak di seluruh kampus. Adakah benar perkara ini berlaku dan apakah relevannya?. Mungkin ingin mengelakkan pengundi-pengundi hantu daripada kampus lain?. Haha.

    Menurut sumber yang boleh dipercayai daripada kampus UPM,USM, UKM dan UM pilihanraya mereka akan diadakan pada pertengahan Januari. Tetapi berlainan dengan khabar angin yang datang daripada kampus UTM di mana pilihanraya kampus mungkin akan diadakan pada akhir bulan Januari.

    Apakah relevannya?. Kampus yang paling awal memulakan sesi pengajian sebaliknya menjadi kampus yang terakhir mengadakan pilihanraya. Satu perkara pelik seperti yang selalu dilakukan pentadbiran UTM.

    Pada pandangan penulis, jika pilihanraya UTM diadakan lewat Januari yang mana sangat hampir dengan cuti pertengahan semester 1. Adakah ini juga merupakan stratergi untuk pihak pentadbiran mengelak daripada bantahan dan petisyen pilihanraya kampus yang telah dijalankan?.

    Harapan Mahasiswa

    Pilihanraya kampus merupakan satu platform untuk mencari pemimpin bukan sekadar mencari pengurus kepada arahan daripada pihak pentadbiran. Penulis amat hampa jika pemimpin mahasiswa yang dilahirkan daripada UTM 'hanya' pandai mengurus. Bahkan lebih parah keadaannya jika mereka yang dipilih sebenarnya mewakili sesetengah pihak (e.g: Pengetua, pentadbiran atau parti-parti tertentu) dan bukan mewakili suara Mahasiswa .

    Memetik kata-kata pendapat budayan ternama Rendra tentang perjuangan kebudayaan dalam satu pidatonya. Katanya, “Sekarang sudah saatnya semua pihak menyedari bahawa segala macam revolusi atau reformasi politik akan sia-sia, dan hanya akan menghasilkan penjajahan baru, sebagaimana dilukiskan oleh Che Guevara, apabila tidak diiringi secara bersama dengan perjuangan kebudayaan yang ujung tombaknya adalah pendidikan.

    Bagi merealisasikan semuanya itu, yang kita perlukan bukan cuma boss, dan bukan cuma orang besar, tetapi pemimpin yang kompeten, pemimpin yang mampu menepati fungsi human transformer and culture builder, pemimpin pendidik yang mampu melakukan transformasi kemanusiaan dan reformasi kebudayaan.

    Mudah-mudahan akan segera terbina kebudayaan baru yang kuat, kebudayaan yang mampu memanusiakan orang kedil, memberdayakan rakyat, dan seterusnya mengangkat martabat bangsa.”
    (Rendra. 2000. Rakyat Belum Merdeka: Sebuah Paradigma)

    Memilih pemimpin mahasiswa tidak sama dengan pemilihan pengurus CEO syarikat. Ini kerana pemimpin mahasiswa lebih dipertanggungjawabkan ke arah menentukan hala tuju dan survivality ummah pada masa akan datang.

    Jika pemimpin-pemimpin yang mahu dihasilkan sikapnya mahu mengkomersialkan sesuatu atau dengan kata mudah suka mengaut keuntungan daripada jawatannya maka rosaklah harapan rakyat, rosaklah harapan ummah secara keseluruhannya. Bukan rakyat diutamakan sebaliknya sebaliknya harta dan kekayaan negara menjadi keutamaan.

    Justeru, sama-samalah kita nilai jenis dan attitude apa yang perlu ada pada pemimpin yang mahu kita pilih. Perubahan ke arah yang lebih baik dalam kampus kita amat dialu-alukan oleh Mahasiswa dalam menjadikan Malaysia ke arah yang lebih baik.

    Salam perubahan.
    Salam Mahasiswa.

    Hak Mahasiswa UTM mendapat maklumat dinafikan

  • gambar yang menunjukkan blog Pro M telah disekat(klik untuk besarkan)

    Skudai, 6hb Jan 2010
    : Jentera Pusat Pro Mahasiswa UTM hari ini mendapat maklumat bahawa lidah rasmi Pro M UTM iaitu promahasiswautm.blogspot.com telah disekat oleh pihak pentadbiran dari dilayari oleh Mahasiswa UTM.

    Sekatan ini disedari bermula pagi tadi. Ini menunjukkan seluruh mahasiswa UTM telah dinafikan hak untuk menerima maklumat secara bebas bagi memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjelang pilihanraya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Saudara Nur Azim Fahada turut melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap sikap berat sebelah pihak pentadbiran dalam hal ini. Ini kerana, hanya blog Pro Mahasiswa UTM yang disekat daripada dilayari oleh semua mahasiswa UTM dalam kampus manakala blog Evolusi Mahasiswa@ASPIRASI masih boleh dilayari seperti biasa.

    Gambaran ini juga menunjukkan kepada kita bahawa seluruh jentera universiti telah digerakkan untuk memastikan Pro Mahasiswa kalah pada pilihanraya kampus akan datang. Ini adalah permulaan kepada siri pencabulan demokrasi kampus UTM menjelang pilihanraya. Adakah ini salah satu cara yang cuba digunakan oleh pihak pentadbiran untuk menghalang gerakan kesedaran dan kebangkitan mahasiswa dalam memilih kepimpinan yang bakal menerajui MPP? Jika itulah tujuannya, Pro Mahasiswa amat kesal dengan tindakan yang dilihat kurang matang dan sangat tidak selari dengan gagasan budaya ilmu yang diperkenalkan oleh Dato' Naib Canselor.

    Justeru, Pro Mahasiswa berharap pihak UTM dapat menilai semula sekatan yang dilakukan terhadap blog promahasiswautm.blogspot.com agar mahasiswa dapat menilai sendiri kredibiliti kepimpinan Evolusi dan Pro Mahasiswa yang bakal mengepalai kerusi Majlis Perwakilan Pelajar UTM sesi 2010 dan dapat menerima maklumat dari kedua-kedua pihak secara telus dan adil.
  • PMIUTM menyambut baik Sudut Pidato diwujudkan semula



    Skudai, 30hb Dis 2009 : Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini dalam kenyataannya melalui akhbar utusan Malaysia bahawa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan mewujudkan semula sudut pidato khas bagi meningkatkan kemahiran pengucapan awam di kalangan mahasiswa.

    Katanya, kemahiran berucap perlu dikuasai oleh mahasiswa dan tidak terhad kepada kumpulan pelajar tertentu sahaja seperti pemidato universiti.

    “Kebenaran itu akan menghidupkan budaya keilmuan dan intelektual di universiti selain melahirkan mahasiswa cemerlang bukan sahaja dari segi akademik semata-mata.

    “Bagaimanapun, sudut pidato berkenaan perlu dilakukan secara beretika, berhemah dengan persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing, kita yakin ia tidak akan menimbulkan implikasi negatif,” katanya.

    Jelas beliau lagi, "mahasiswa dapat menggunakan platform tersebut untuk berhujah dan berbincang mengenai isu semasa secara lebih meluas termasuk melibatkan isu-isu politik tanah air."

    Sebelum ini PMIUTM pada sesi kepimpinan lepas yang dipimpin oleh Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami, pernah menyatakan hasrat kepada Timbalan Naib Canselor UTM dalam satu Bengkel Persatuan bersama Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar menghidupkan semula Sudut Pidato di Universiti Teknologi Malaysia supaya mahasiswa diberi kebebasan bersuara dengan meletakkan garis panduan dan etika semasa sesi pidato berlangsung. Namun sehingga kini, ia masih belum dilaksanakan.

    Perbincangan berkenaan sudut Pidato ini juga pernah dibincangkan dan diusulkan oleh PMIUTM kepada pentadbiran UTM dalam satu diskusi bersama Majlis Profesor berkenaan membentuk "Mahasiswa Bertaraf Dunia". Majlis Profesor UTM juga dilihat bersetuju dengan pandangan dan cadangan tersebut. Keterbukaan Majlis Profesor dalam menerima pendapat mahasiswa tanpa perlu bertapis sama ada berkenaan isu politik atau ketidakpuasan hati mahasiswa merancakkan dan menghangatkan lagi diskusi pada hari tersebut dengan hujah-hujah yang ilmiah.

    Presiden PMIUTM, Saudara Mohd Khairul apabila ditemui berkata, "PMIUTM sentiasa menyokong usaha-usaha untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti mahasiswa khususnya di Malaysia. Kami juga diperingkat PMIUTM akan cuba menggunakan medium ini sebaik mungkin.

    Tambah beliau, "Sudut Pidato ini saya lihat dapat membuka ruang kepada PMIUTM untuk menyebar luaskan dakwah Islam kepada warga kampus. Oleh itu, Saya berharap pihak pentadbiran UTM dapat melaksanakan Sudut Pidato ini secepat mungkin agar mahasiswa dapat meningkatkan kemahiran pengucapan awam dan seterusnya membina keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang ramai."

    Tuntutan mahasiswa terhadap sekatan AUKU masih banyak walaupun Sudut Pidato ini merupakan salah satu Pindaan AUKU 1975 yang pihak kerajaan cuba longgarkan dalam memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara. Namun beberapa tuntutan yang telah digariskan oleh aktivis Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) perlu dipertimbangkan untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi dari sudut yang lebih holistik. myLPM.

    Facebook UTM Today

    About Me

    Utm Today
    UTM Today akan memaparkan kepada anda berita-berita disekitar kampus UTM sama ada berita universiti, persatuan-persatuan dan juga aktiviti-aktiviti serta suara-suara mahasiswa. Sebarang berita dan suara-suara anda yang ingin disampaikan kepada kami boleh di hantar ke utmtoday10@gmail.com
    View my complete profile

    Apa wajar mahasiswa dibenarkan berpolitik? apa pandangan mahasiswa UTM?

    Pilihanraya kampus UTM

    Pilihanraya kampus UTM

    Ingin berkongsi dengan kami??

    Ingin berkongsi dengan kami??

    Web Site Hit Counter

    Komen dan pandangan


    ShoutMix chat widget

    Gelagat Mahasiswa

    Gelagat Mahasiswa