Mahasiswa boleh aktif politik diteliti: Saifuddin
GEORGETOWN: Kementerian Pengajian Tinggi akan mempertimbang untuk membenarkan mahasiswa di institut pengajian tinggi awam (IPTA) membabitkan diri dalam parti politik.
Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya akan menyertai perbincangan meja bulat anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) yang turut dihadiri pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin mahasiswa berhubung perkara itu, hari ini.
"Kelmarin, saya menerima resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bersetuju membenarkan mahasiswa terbabit dalam parti politik dengan bersyarat serta memerlukan penelitian serius.
"Saya menyambut baik resolusi ini. Jadi, kita akan mempertimbangkan cadangan berkenaan berikutan ia dipersetujui dan mewakili suara mahasiswa IPTA itu sendiri,” katanya selepas mempengerusikan syarahan Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas berhubung Pengajian Tinggi Menurut Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.
Saifuddin berkata, kerajaan bersedia berbincang dengan semua pihak termasuk pemimpin pelajar bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk membolehkan mahasiswa membabitkan diri dalam politik.
"Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin Perlembagaan. Selain itu, ia penting untuk mematangkan demokrasi kita," katanya.
Tahun lalu, kerajaan meminda AUKU dan memberi banyak kebebasan tetapi masih tidak membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.
Saifudin berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak, pihaknya akan membawa usul ke Parlimen untuk pindaan AUKU bagi memperluaskan lagi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik.
"Bagaimanapun, perbincangan mengenai kebebasan mahasiswa untuk berpolitik itu mungkin mengambil masa kerana ia memerlukan kajian terperinci berhubung perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan mereka," katanya.
MPP sokong mahasiswa berpolitik
Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my
BANGI – Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (MPP IPTA) 2010 semalam membuat resolusi menyokong pembabitan mahasiswa IPTA dalam parti-parti politik.
Pengerusi Jemaah Yang Dipertua MPP IPTA Malaysia, Ahmad Wafi Sahirdan, 20, berkata, resolusi itu dicapai apabila 191 daripada 335 anggota MPP pelbagai IPTA yang hadir pada konvensyen itu menyokong dasar tersebut.
“Hanya 128 wakil MPP tidak bersetuju dan selebihnya kurang pasti. Maka kami mengikut keputusan majoriti wakil MPP IPTA seluruh Malaysia yang meminta kerajaan membenarkan pelajar daripada IPTA menyertai politik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Konvensyen MPP IPTA 2010 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di sini semalam.
Sumber: Kosmo Online
“KPT, bedah siasat PRK segera!” - Bantah
KUALA LUMPUR : Pengerusi Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah) Mohd Aizat Mohd Salleh hari ini mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar segera membuat muhasabah berhubung pilihan raya kampus (PRK) yang didakwa banyak terlibat dengan penyelewengan mutakhir ini.
"KPT harus segera arahkan semua kampus agar membuat bedah siasat bagi mengenalpasti penyelewengan dalam PRK yang lalu.
"Kami turut mendesak semua kampus yang mengguna sistem e-undi segera memansuhkan penggunaan sistem itu dan mengembalikan kepada sistem pengundian secara biasa yang lebih telus," kata beliau dalam suatu kenyataan kepada erapakatan.com di sini, hari ini.
Tambah Mohd Aizat, pihak pentadbir universiti perlu segera mengambil tindakan terhadap jawatankuasa pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yang didapati terlibat dengan penyelewengan, ugutan dan penindasan ke atas mahasiswa.
Kelemahan sistem e-undi : Sampel di UM
Di Universiti Malaya, tambah beliau, telah berlaku kerosakan pada sistem komputer yang digunakan jawatankuasa pemilihan MPM.
"Kejadian itu berlaku di kolej kediaman ke-12, dan menyaksikan beberapa mahasiswa tidak dapat mengundi. Ini ditambah lagi dengan sistem yang diambilalih oleh pegawai kolej yang tiada kelayakan untuk mengendalikan sistem tersebut.
"Hal kelumpuhan 'server' ini turut berlaku di kolej kediaman ke-4 dan di Fakulti Ekonomi yang mengalami masalah yang sama. Hasil laporan yang diterima, wujud unsur manipulasi sistem oleh pihak-pihak yang berkepentingan," kata beliau.
Di samping itu, tambah Mohd Aizat, di kolej kediaman ke-7, seorang mahasiswa OKU (orang kelainan upaya), telah dipaksa tanpa kerelaannya untuk mengundi calon-calon tertentu.
"Seorang pegawai pilihan raya di kolej kediaman berkenaan telah memberi senarai nama untuk beliau undi," katanya.
Keganasan pengawal keselamatan dan polis: Sampel di UKM
Dalam laporan berkaitan, Mohd Aizat berkata, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan bantahan ke atas keputusan pilihan raya kampus di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina kerana berlaku kesilapan kiraan di fakulti tersebut.
"Desakan mereka kepada pihak pentadbiran UKM berlarutan sehingga mengadakan demontrasi di masjid kampus sehingga menyebabkan berlaku tangkapan ke atas dua mahasiswa.
"Selain masalah kesilapan kiraan di fakulti itu, mereka juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan sistem PRK di sana yang ternyata jelas tidak telus dan adil. Berlaku juga aspek penindasan fizikal di mana mahasiswa dipukul oleh pengawal keselamatan yang bertindak emosi dalam kejadian itu," kata beliau.
Universiti diminta tak singkir mahasiswa berdemonstrasi
Sumber : Malaysiakini
Pihak pengurusan universiti diminta supaya bertindak adil dan tidak menyingkirkan sembilan mahasiswa yang ditahan polis kerana mengadakan demonstrasi membantah proses pilihan raya kampus (PRK) di ibu negara Sabtu lalu.
Beliau berharap pihak pengurusan universiti tidak mengenakan tindakan dwi-dakwaan terhadap mahasiswa tersebut atas satu kesalahan.
"Setiap universiti mempunyai pelbagai bentuk tindakan tataterbit di mana tindakan buang pelajar adalah jalan terakhir. Saya harap ia tidak akan sampai ke tahap itu," katannya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Karangkaraf di Shah Alam hari ini.
Sembilan daripada mereka kemudiannya ditahan polis kerana didakwa gagal berbuat demikian.
Mereka ialah Hilman Idham, Aizat Salleh, Mohammad Za'im Mustapha, Ahmad Shukri Kamarudin, Ahmad Syukri Abdul Razak, Mohammad Idris Yusoff, Fikhri Harun, Syahriul Ismail dan Ridhuan Jamil.
IPT disaran tubuh parlimen Mahasiswa
KOTA KINABALU – Institusi pengajian tinggi tempatan disaran menubuhkan Parlimen Mahasiswa sebagai platform untuk golongan itu mengutarakan pandangan berhubung isu-isu semasa dan berkaitan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebagai landasan terbaik untuk mahasiswa bersuara, setiap universiti perlu mempunyai model Parlimen Mahasiswa sendiri.
“Setakat ini, belum ada yang menubuhkan Parlimen Mahasiswa, tetapi beberapa buah universiti diketahui dalam proses ke arah itu.
“Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan yang pertama akan melancarkan Parlimen Mahasiswa pada Februari ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Wacana Ilmu Ke Arah Pemantapan Pelajar di Dewan Teater Tun Hamdan, Yayasan Sabah di sini hari ini.
Menurutnya, sebelum ini, proses menyalurkan pendapat dilakukan melalui Majlis Perwakilan Pelajar atau persatuan, tetapi ia kurang berkesan dalam mewakili suara mahasiswa.
Sementara itu, Saifuddin turut meminta pihak pentadbiran universiti agar tidak memperlekeh dan mengetepikan pandangan mahasiswa berhubung sesuatu isu kerana ia boleh menyekat budaya intelektualisme.
Beliau berkata, tindakan itu juga akan mengekang usaha menyuburkan minda dan memberi pendedahan kepada mahasiswa agar lebih berani bersuara.
“Perkara ini perlu dihentikan. Kita tidak mahu mahasiswa berasa dikongkong, diperkecil atau dianggap seperti budak-budak.
“Kita mesti mengiktiraf suara mereka,” katanya.
Saifuddin berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai tindakan segelintir pemimpin dan pensyarah universiti yang mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekehkan pandangan mahasiswa.
Katanya, golongan mahasiswa seharusnya diberi pendedahan dan peranan untuk mengemuka idea-idea baru.
Mengenai rancangan untuk menaik taraf tiga daripada 32 politeknik di seluruh negara menjadi universiti pada tahun ini, beliau memberitahu, perkara itu masih dalam proses pemilihan.
Sumber : Utusan Melayu
EvoM hantar memorandum bantah penyalahgunaan nama 'Allah'
UTM Skudai, 4 Januari 2010 – Majlis Perwakilan Pelajar UTM dengan kerjasama Evolusi Mahasiswa telah menganjurkan suatu himpunan bagi menunjukkan bantahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitannya.
Himpunan aman yang disertai oleh lebih 300 penyokong Evolusi Mahasiswa ini diadakan di Dataran Agora berhampiran Bangunan Pentadbiran UTM. Ia turut disertai oleh Pengetua-pengetua Kolej dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi menunjukkan bantahan tersebut.
“Kita akan serahkan memorandum ini kepada Naib Canselor untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri bagi menunjukkan mahasiswa membantah keputusan tersebut,” kata Saudara Abdul Hadi, Presiden MPPUTM yang mewakili Evolusi Mahasiswa. Beliau membacakan isi memorandum tersebut di hadapan mahasiswa UTM yang hadir.

Dalam himpunan tersebut juga, calon bagi Evolusi Mahasiswa, Saudara Muhammad Zaki telah memberi ucapan yang penuh bersemangat, menerangkan kepada mahasiswa tentang kronologi dan maklumat berkenaan dengan isu tersebut yang hangat diperkatakan pada hari ini.
