Pilihan Raya Kampus Harus Lebih Telus - Saifuddin
Sumber : Mstar online
PUTRAJAYA: Pilihan raya kampus seharusnya dijalankan dengan lebih telus dan sistematik agar ia mampu berfungsi dengan lebih efektif sesuai dengan statusnya yang diadakan di gedung-gedung ilmu, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata pilihan raya kampus adalah proses pendidikan politik bagi pelajar, justeru ia wajar menerima sambutan hangat setiap kali diadakan.
Menurutnya, rakyat khususnya mahasiswa harus melihat pilihan raya kampus sebagai satu proses untuk melahirkan hasil atau produk yang terbaik, sekaligus memenuhi objektif yang disasarkan.
"Apa yang perlu menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ialah kalau boleh, jangan ada kerusi yang dimenangi tanpa bertanding kerana kalau ada, ini menunjukkan penyertaan mahasiswa sangat rendah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan sembilan pelajar dari lima buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di kementeriannya di sini hari ini.
Para pelajar berkenaan telah ditahan polis semasa berhimpun secara haram di ibu negara pada 23 Jan lalu kerana membantah proses pilihan raya kampus yang didakwa tidak adil termasuk undian secara elektronik.
Dilaporkan mereka adalah antara 200 mahasiswa dari IPTA di sekiar Lembah Klang yang menyertai bantahan tersebut.
Empat daripada sembilan pelajar tersebut ialah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dua pelajar dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan masing-masing seorang dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.
Menurut Saifuddin, kementeriannya pada dasarnya berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya di semua IPTA walaupun berpendapat ia boleh mencapai tahap yang lebih baik.
"Kesemua calon yang bertanding juga dilihat mematuhi etika dan peraturan berkempen dengan mengenengahkan isu-isu luar tanpa menggunakan isu bersifat peribadi," katanya.Mengenai tindakan yang bakal diambil ke atas sembilan pelajar terbabit, beliau berkata ia bergantung kepada budi bicara pihak universiti.
"Kementerian tidak akan mencampuri tindakan yang akan dikenakan ke atas mereka kerana ia tertakluk di dalam bidang kuasa pihak universiti, namun diharapkan ia akan memberikan keadilan kepada semua.
"Begitu juga dengan tindakan oleh pihak polis kerana kes tersebut masih dalam siasatan. Kita serahkan kepada pihak polis untuk membuat keputusan," katanya. - BERNAMA
“KPT, bedah siasat PRK segera!” - Bantah
KUALA LUMPUR : Pengerusi Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah) Mohd Aizat Mohd Salleh hari ini mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar segera membuat muhasabah berhubung pilihan raya kampus (PRK) yang didakwa banyak terlibat dengan penyelewengan mutakhir ini.
"KPT harus segera arahkan semua kampus agar membuat bedah siasat bagi mengenalpasti penyelewengan dalam PRK yang lalu.
"Kami turut mendesak semua kampus yang mengguna sistem e-undi segera memansuhkan penggunaan sistem itu dan mengembalikan kepada sistem pengundian secara biasa yang lebih telus," kata beliau dalam suatu kenyataan kepada erapakatan.com di sini, hari ini.
Tambah Mohd Aizat, pihak pentadbir universiti perlu segera mengambil tindakan terhadap jawatankuasa pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yang didapati terlibat dengan penyelewengan, ugutan dan penindasan ke atas mahasiswa.
Kelemahan sistem e-undi : Sampel di UM
Di Universiti Malaya, tambah beliau, telah berlaku kerosakan pada sistem komputer yang digunakan jawatankuasa pemilihan MPM.
"Kejadian itu berlaku di kolej kediaman ke-12, dan menyaksikan beberapa mahasiswa tidak dapat mengundi. Ini ditambah lagi dengan sistem yang diambilalih oleh pegawai kolej yang tiada kelayakan untuk mengendalikan sistem tersebut.
"Hal kelumpuhan 'server' ini turut berlaku di kolej kediaman ke-4 dan di Fakulti Ekonomi yang mengalami masalah yang sama. Hasil laporan yang diterima, wujud unsur manipulasi sistem oleh pihak-pihak yang berkepentingan," kata beliau.
Di samping itu, tambah Mohd Aizat, di kolej kediaman ke-7, seorang mahasiswa OKU (orang kelainan upaya), telah dipaksa tanpa kerelaannya untuk mengundi calon-calon tertentu.
"Seorang pegawai pilihan raya di kolej kediaman berkenaan telah memberi senarai nama untuk beliau undi," katanya.
Keganasan pengawal keselamatan dan polis: Sampel di UKM
Dalam laporan berkaitan, Mohd Aizat berkata, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan bantahan ke atas keputusan pilihan raya kampus di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina kerana berlaku kesilapan kiraan di fakulti tersebut.
"Desakan mereka kepada pihak pentadbiran UKM berlarutan sehingga mengadakan demontrasi di masjid kampus sehingga menyebabkan berlaku tangkapan ke atas dua mahasiswa.
"Selain masalah kesilapan kiraan di fakulti itu, mereka juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan sistem PRK di sana yang ternyata jelas tidak telus dan adil. Berlaku juga aspek penindasan fizikal di mana mahasiswa dipukul oleh pengawal keselamatan yang bertindak emosi dalam kejadian itu," kata beliau.
NC UM jamin akan letak jawatan jika e-undi bermasalah?
KUALA LUMPUR : Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Ghauth Jasmon dikatakan rela meletakkan jawatannya jika sistem e-undi yang diamalkan kelak akan mendatangkan masalah.
"NC pernah jamin bahawa sistem e-undi di kampus itu tiada masalah, dan jika sebaliknya berlaku, beliau rela meletak jawatan," kata Presiden Persatuan Mahasiswa Darul Aman (Persada Kedah) Syazwan Ahmad kepada erapakatan.com di sini, hari ini.
Tambahnya, hal jaminan itu pernah disuarakan dalam suatu mesyuarat bersama kumpulan Pro Mahasiswa dengan NC sebelum ini.
Syazwan, wakil calon kepada Mohd Hafiz Ilyas (Umum) yang mendapat undian tertinggi dalam PRK sebelum ini berkata, hal itu pernah disebut dalam suatu rundingan bersama kumpulan Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah) sebelum ini.
"Ya, ada (jaminan itu). Waktu temubual (antara) wakil Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM UM) dengan beliau tentang isu UM dan e-undi," kata Pengerusi Bantah Mohd Aizat Mohd Salleh, ketika mengesahkan kedudukan hal itu melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada erapakatan.com hari ini.
Sidang media yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang ini di Akademi Pengajian Islam (API UM) dibatalkan berikutan program konvoi anjuran kumpulan mahasiswa itu ke Gombak yang bermula pagi tadi di Masjid Ar-Rahman.
Sumber : Era Pakatan
Keputusan Rasmi PRK UTM 2010
Keputusan Pilihanraya Kampus: Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia 2009/2010
Kerusi Umum:
1. Muhammad Zaki Bin Omar - 7837
2. Nor Amanina Binti Ab Rahim - 7335
3. Mohd Rozi Bin Harun - 6778
4. Muhammad Miqdad Bin Che Mohd Rozi - 6360
5. Nur Syazana Binti Azahar - 5992
6. Ahmat Rajab Bin Khairul Yusri - 5899
7. Muhammad Uzair Bin Azizan - 5739
8. Farah Hanim Mohd Dexter Howell - 5729
9. Yin Leang Huat - 5659
10. Siti Mariam Abdul Lathiff - 5655
Kerusi Fakulti:
Fakulti Alam Bina:
1. Nurfatin Aqilah Binti Mohd Yusof -547
2. Noor Aimran Bin Samsudin - 503
3. Mohd Ainuddin Bin Khairuddin - 403
Fakulti Biosains Dan Biokejuruteraan:
1. Iezzat Emeer Bin Affandi - 189
2. Nor Hafiza Binti Omar - 183
3. Khairina 'Izzati Binti Amir Hussain - 149
Fakulti Kejuruteraan Awam:
1. Siti Amirah Binti Basirun - 683
3. Nurulhayati Bte Md Yusoff - 645
2. Mohd Affendi Bin Ismail - 621
Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan:
1. Ng Ken Hoo (menang tanpa bertanding)
2. Jihan Atikah Binti Md Jalani (menang tanpa bertanding)
3. Nazirahhanim Binti Sharipudin (menang tanpa bertanding)
Fakulti Kejuruteraan Elektrik:
1. Nur Azim Fahada Bin Ahmad - 870
2. Ku Abd Muhyi Bin Ku Abd Hamid - 841
3. Umi Kalsom Binti Mohamad Yusof - 633
Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli:
1. Izam Ikhwan Bin Kamaruddin - 918
2. Nor Aida Binti Yusoff - 713
3. Ahmad Syairazi Bin Rasid - 653
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal:
1. Muhammed Amirul Asyraf bin Hasnan - 822
2. Mohd Fadzli Bin Ismail - 818
3. Nurul Fatiha Binti Mesbah - 805
Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi:
1. Wan Ahmad Hazwan Bin Wan Daud - 545
2. Nur Syahida Binti Anuar - 472
3. Chew Jian Long - 467
Fakulti Pendidikan:
1. Mohd Sharhan Bin Abu Bakar - 636
2. Anis Bin Abd Wahab - 622
3. Ummu Sulaim Binti Osman - 542
Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia:
1. Berlina Dolores Doyou - 885
2. Mohd Hazizi Bin Ishak - 644
3. Loke Wei Kit - 458
Fakulti Sains:
1. Nurul Khalida Binti Hidzir - 772
2. Iskandar Zulkarnain Bin Mohamad Idris - 744
3. Lee Wei Bin - 540
Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat:
1. Mohamad Ariff Bin Makhfudz - 534
2. Nur Aqilah Binti Sabri - 529
3. Chaw Sau Shen - 463
Kampus UTMKL
5 Orang calon bebas telah menang tanpa bertanding
**Nota:
Pro Mahasiswa - 18 Kerusi
Evolusi mahasiswa - 28 kerusi
Bebas - 5 Kerusi
Evo-M menarik semula fitnah mengenai PRK di UTMKL
Sumber : Promahasiswa UTMKL
Pro mahasiswa menyambut baik tindakkan yang dilakukan Evo-m yang menarik balik kenyataan palsu yang dibuat mengenai PRK di utmkl. Apa yang perlu kita jelaskan adalah mengenai kejujuran dan nilai baik dalam kita menyatakan sesuatu. Setiap perkara yang kita lakukan mesti dipertimbangkan dengan akal yang waras tentang kebaikan atau keburukannya. Memang tidak ada sesuatu yang menghalang dari lidah berbicara dan tangan mereka cerita. Tetapi ingat terlajak perahu mungkin boleh berundur, tetapi terlajak kata buruk padahnya.
Perbuatan yang dilakukan ini merugikan pihak Evo itu sendiri, dan mungkin menjejaskan sedikit sebanyak kepercayaan mahasiswa terhadap kepimpinan evo. Cuma di sini kami tegaskan bahawa setiap pergerakan kita, pasti ada yang memerhati. Jika tidak manusia yang Nampak pasti Pencipta itu Maha Melihat, malaikat itu sentiasa mencatit. Kami harapkan pihak evo sedar dengan fitnah yang dibuat, dan tidak mengulanginya lagi. Insaflah dari perbuatan yang tidak berfaedah.
Kami juga di peringkat Pro-M mendengar rungutan dari ahli-ahli Evo yang tidak puas hati dengan fitnah tersebut. Buatlah sesuatu untuk menjaga mana baik Evo yang sudah kian tercalar. Ingat “Kemenangan itu pasti berpihak pada yang benar. “
Pro Mahasiswa UTM dianiaya
Namun, semasa berlangsungnya pidato umum semalam, majlis telah diganggu dengan pekikan penyokong evolusi yang diketuai oleh salah seorang pengetua disebuah kolej di UTM. Tetapi provokasi yang mereka lakukan tidak diendahkan oleh mahasiswa yang lain.
Lebih mengejutkan lagi pada hari pembuangan undi bermula hari ini apabila bilik PMI juga telah menjadi sasaran kepada "puak-puak biadap" apabila bilik operasi PMI telah di conteng dengan kata-kata kesat, "PRO M SUCK". Tindakan seperti ini dilihat seolah-olah tindakan terdesak pihak-pihak tertentu apabila melihat sambutan terhadap Pro M semakin meningkat.
Sehubungan dengan itu, Pro M pagi ini telah membuat laporan kepada pengarah keselamatan, En. Halim untuk siasatan dan tindakan segera. Sabotaj ini bukan kali pertama dilakukan terhadap Pro M. Sebelum ini, Calon Umum Pro Mahasiswa, Saudara Uzair yang pernah dipelawa untuk menyertai Evolusi, telah diugut dengan menyimbah cat oren ke atas motor beliau.
Pro Mahasiswa berharap semua penyokong tegar dan penggerak Pro M dapat bersabar dengan tidak melakukan sesuatu perkara tanpa arahan dari Jentera Pro M Pusat. Kita beri kepercayaan kepada pihak keselamatan untuk menyiasat perkara ini. Doakan "puak-puak" biadap ini mendapat hidayah. Sekian.
P'raya kampus: Pro-M kalah teruk di UPM
Calon pro-Aspirasi menang besar dalam pilihan raya kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Ini ekoran kejayaan mereka memenangi 37 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.
Kumpulan pro-Mahasiswa pula memenangi 11 kerusi - merosot dua kerusi berbanding prestasinya pada tahun lalu.
Keputusan tersebut diumumkan kira-kira jam 7.30 malam ini di Kolej Kediaman Ke-13 UPM.
Khamis ini, empat univerisiti utama akan menghadapi pilihanraya kampus masing-masing.
Kampus tersebut ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Di UM, pro-Aspirasi UM setakat ini menang lapan kerusi tanpa bertanding manakala pro-M memperolehi empat kerusi.
Pilihan raya kampus di UKM pula akan menyaksikan pertandingan di hampir semua kerusi umum dan fakulti.
UKM mempertandingkan 35 kerusi, tetapi kerusi fakulti pengajian Islam telah dimenangi tanpa bertanding calon pro-M.
Pendedahan Eksklusif : Evolusi@Aspirasi disebalik tabir.
SURAT TERBUKA BUAT AYAHANDA NAIB CANSELOR SEMPENA PILIHANRAYA KAMPUS (PRK)
AUTONOMI UNIVERSITI YANG DICEMARI : MOHON PENJELASAN
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa syukur saya panjatkan ke atas Ilahi atas limpah rahmat serta kasih sayangNya kita masih lagi dikurniakan pelbagai limpahan nikmat di bumi UTM yang tercinta ini.
2. Saya yakin dan percaya kehadiran surat ini mungkin akan mengundang sedikit rasa kecewa diperingkat Dato’ disebabkan selaku anak saya merasakan ianya agak kurang beradab untuk berbicara dalam ruang sesempit ini. Namun saya lebih yakin bahawa Dato’ akan lebih kecewa apabila melihat sendiri gelagat serta tindakan sebahagian daripada penggerak dan pentadbir universiti yang cuba untuk memburukkan serta mencemarkan imej dan nama baik universiti.
3. Selaku penggerak utama Pro-Mahasiswa, saya merasa sedih dan kecewa dengan tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Mohad Anizu Bin Hj Mohd Noor ( Pengetua Kolej Rahman Putra) kepada salah seorang calon Pro-Mahasiswa yang mana dalam ucapan beliau banyak menyentuh soal pencemaran terhadap autonomi universiti oleh pihak-pihak luar serta mengajar dan mendidik tentang budaya politik kotor yang sememangnya bertentangan dengan politik nilai yang Pro-Mahasiswa perjuangkan.
4. Di sini disertakan bersama rakaman suara lebih kurang 40 minit[link] berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Mohd Anizu Bin Hj Mohd Noor ketika bertemu dengan salah seorang calon Pro-Mahasiswa.
5. Antara kenyataan yang perlu diberi perhatian serta mendapatkan penjelasan terperinci daripada pihak pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia setelah mendengar rakaman tersebut adalah seperti berikut :
5.1 AUTONOMI UNIVERSITI YANG DICEMARI
10 : 14 - “Dahulunya tak ada pengaruh luar, bila masuk pengaruh luar ada pemimpin-pemimpin di dalam kampus ini yang terpengaruh dengan pengaruh luar cuba bentuk satu kumpulan baru, sebab tu dulu tak ada aspirasi…”
13 :40 – “ menang diorang nih (PMI) sebab tu universiti tak dibagi apa…setiap universiti yang menang dianggap pembangkang dimana-mana kampus, org UMNO akan bersuara, apa tu pembangkang menang di kampus nih, jangan bagi apa-apa pada mereka…mereka menentang kerajaan..sebab tu lah kita tak dapat apa-apa, kita yang terakhir dapat stadium…”
14 : 08 – “ Jika Pro-M nih menang UTM akan mundur laa…ya, mungkin kerajaan..itu orang kata dasar kerajaan mana-mana sekalipun…”
15 : 00 –“ Budak-budak Pro-M kalau menang nanti kerajaan stop stadium ni apa awak nak ?..”
15 : 38 – “ Sebab tu saya kata kalau menang Pro-M, kita tidak akan dipandang oleh kerajaan..”
27 : 30 – “ Sama-sama..sebab dah mula ada pembangkang, sebab itu kita sendiri UMNO tu dia prihatin dengan pilihan raya kampus..ha…dia prihatin sebab kalau ada pembangkang habis kita..sebab tu la UMNO..memang saya akui UMNO pun support kita(Evolusi)…”
16 : 02 – “kerajaan memang bagi arahan, ya bagi jugak sebab…lima tahun lepas tu pernah dia kutuk UMNO..ahh NC, dia melibatkan sendiri kekalahan aspirasi menyebabkan NC jatuh, TNC NC jatuh, sebab dikira gagal menguasai pelajar…”
5.2 CAMPURTANGAN PENGETUA DALAM PERCATURAN PILIHANRAYA KAMPUS & DEMOKRASI MAHASISWA DITINDAS
8 : 06 – “ Jika awak berada di sebelah sana, awak tak bersama saya lah..sebab tu saya cakap, orang yang bersama saya saja akan dilantik jadi JKM…”
9 : 40 – “ Itu kuasa pengetua, pengetua buat apa yang patut..sebab awak berada di pihat satu lagi, awak tak bersama saya..saya,macam saya cakap tadi,calon-calon saya nih calon Evo..kalau awak nak bertanding mungkin awak nak menang…saya calonkan awak calon Evo..calon bersama pengetua…”
10 : 32 – “ Kira Aspirasi nih bawah pengetua lah..calon-calon aspirasi tu semua bawah pengetua..maknanya calon-calon kamilah..”
5.3 MENGANJURKAN AMALAN POLITIK KOTOR
12 : 07 –“ Kalau aktif kamu dapat kuota, tu macam tak professional..betul tu tak professional tapi orang kata nih hakikat, di luar sekalipun..di luar contoh..pasti dimana-mana pun di luar memerintah negeri pasti dah dia akan cantas parti-parti yang lain…kalau contoh BN perintah, semua org2 PAS dalam tu, contoh cikgu-cikgu kena pindah jauh”
32 :53 – “ Sebab tu wujudnya unsur kronisme, sebab orang ni je yang boleh bekerja dengan kita..takkan dia nak amik orang-orang…”
39 :08 – “Kalu awak bertanding untuk saya..Kita akan bagi support sepenuhnya,kolej akan bagi support, modal..”
6. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan ini membuktikan sememangnya wujud campur tangan pihak politik terutama UMNO dalam mencatur kedudukan serta perjalanan universiti itu sendiri yang sepatutnya menjadi taman akademik melahirkan golongan intelektual yang terhindar daripada pengaruh kotor sebegini. Keadaan ini bukan sekadar menggugat autonomi universiti malah memberi kesan yang buruk kepada warga kampus itu sendiri khususnya mahasiswa. Saya selaku wakil mahasiswa amat kecewa dengan campurtangan politik khususnya UMNO yang mengganggu gugat perjalanan universiti.
7. Kami Pro-Mahasiswa mewakili suara seluruh mahasiswa kampus UTM amat-amat menantikan jawapan penjelasan dari pihak ayahanda NC andai sekiranya kenyataan yang dikeluarkan ini adalah tidak benar dan bercanggah dengan amalan universiti selama ini. Ini kerana, kami melihat perkara ini sebagai suatu masalah yang serius dan mampu mencemarkan nama baik universiti.
8. Sekiranya kenyataan yang dikeluarkan ini bercanggah dengan amalan universiti, saya amat berharap agar satu tindakan tatatertib dikenakan terhadap pihak yang terlibat. Ini kerana, kes seperti ini dilakukan secara berulang oleh orang yang sama. Saya menyarankan agar saksi yang terlibat dalam rakaman ini dijemput bersama untuk memberikan keterangan secara rasmi. Sekiranya pihak universiti gagal untuk menyelesaikan masalah ini, kami diperingkat Pro Mahasiswa akan cuba bawa perbincangan kes ini ke luar melalui khidmat guaman dan beberapa badan berkaitan yang akan cuba kami aturkan agar mahasiswa tidak lagi diperlakukan seperti ini.
9. Saya yakin dan percaya, UTM bukan sahaja mahu melahirkan mahasiswa yang memiliki daya intelektual dan sifat integriti yang tinggi, malah UTM juga mahu melahirkan kakitangan dan pentadbir yang berkualiti serta amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Universiti yang bersih serta tidak tercemar dengan amalan budaya membudakkan mahasiswa akan disanjung tinggi.
10. Akhir kalam, saya mewakili suara seluruh mahasiswa UTM meletakkan setingi-tinggi pengharapan pada Dato’ dalam usaha menjernihkan perkara ini. Harapan yang menggunung tinggi ini serta kerjasama yang diberikan oleh ayahanda Dato’ Naib Canselor kami dahului dengan ucapan jazakallahu khairan jaza’. Mudah-mudahan usaha sama yang dibuat menjaga kualiti serta integriti universiti ini member manfaat untuk jangka masa panjang.
Yang Benar,
MOHD AMIN BIN MOHD HAMAMI
Ketua Jentera
Pro-Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia
No.HP : 013-7143682
Sumber : Pro Mahasiswa UTM
Pro M UTM persoal syarat kempen pilihanraya kampus
Sumber : Pro Mahasiswa UTM
Namun, calon-calon serta pengerak dari kedua-dua parti iaitu Pro Mahasiswa UTM dan Evolusi Mahasiswa dikejutkan dengan peraturan kempen yang membunuh demokrasi kampus secara keseluruhannya. Peraturan kempen dilihat semakin ketat dan calon-calon terpaksa berhadapan dengan birokrasi yang tinggi daripada pihak pentadbiran.
Antara peraturan yang dikenakan kepada calon mahasiswa dalam pilihanraya kampus kali ini adalah seperti:
1. speaker corner hanya boleh diadakan ditempat yang dibenarkan oleh pihak urusetia pilihanraya sahaja.
2. Setiap calon hanya terhad berucap 3 kali sahaja semasa kempen di speaker corner
3. Calon juga diberi masa yang terhad untuk berucap ketika berkempen
4. Tidak dibenarkan berkempen di bilik kuliah kecuali dengan kebenaran dekan
5. tidak dibenarkan berkempen secara kumpulan
6. Dan bermacam-macam lagi sekatan yang diberikan.
Masa kempen yang terhad disamping birokrasi untuk berkempen yang semakin ketat menjadikan Pilihanraya kampus kali sangat tidak demokratik malah menyekat sifat kreatif mahasiswa untuk berkempen. Ini merupakan salah satu sejarah terburuk demokrasi kampus UTM yang pernah dilalui sepanjang pilihanraya kampus berlangsung.
Pro Mahasiswa UTM juga mendapat laporan daripada sahabat kampus lain bahawa peraturan kempen seperti ini bukan sahaja berlaku di UTM malah hampir disetiap kampus. Apa makna semua ini?? adakah ini salah satu pembodohan tersistematik yang ingin dilakukan oleh pihak pentadbiran kepada mahasiswa??adakah anda sebagai mahasiswa ingin terus diperbodohkan seperti ini? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dan dinilai oleh mahasiswa mahupun pihak pentadbiran.
Mahasiswa dilihat semakin diperbudakkan dengan mengenakan peraturan kempen yang tidak munasabah. Kalau inilah amalan yang ingin diteruskan oleh pihak pentadbiran dalam pemilihan pemimpin mahasiswa, kita akan melihat kepimpinan Mahasiswa UTM yang dipilih hanyalah berdasarkan paras rupa yang cantik dan kacak, bukan pula dinilai dari sudut kreadibiliti kepimpinan dan kebolehan dalam memimpin.
Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa
Student Power!!!
13 Kerusi MPPUTM milik Evolusi Mahasiswa
Sumber : Evolusi Mahasiswa
28 Jan – Jentera pusat Evolusi Mahasiswa mengumumkan sebanyak 13 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar UTM telah dimiliki oleh Evolusi Mahasiswa, berdasarkan perkiraan mudah jumlah calon yang bertanding di setiap Fakulti dalam PRK kali ini.
Antara kerusi yang telah sah menjadi hak milik Evolusi Mahasiswa ialah 3 kerusi dari Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (FKBSK). Sehingga masa proses penamaan calon ditutup, pihak Pro Mahasiswa tidak menghantar calon mereka ke kerusi tersebut, membuatkan 3 orang calon Evolusi Mahasiswa menang tanpa bertanding.
Di UTM International Campus, Evolusi Mahasiswa telah memenangi 4 kerusi tanpa bertanding.
Sementara di Fakulti Kejurteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli, dan Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat, pihak Pro Mahasiswa hanya menghantar 2 orang calon mereka ke kerusi fakulti tersebut. Manakala di Fakulti Biosains Dan Biokejuruteraan dan Kerusi Umum UTM International Campus, Pro Mahasiswa hanya menghantar seorang calon.
Di kerusi umum UTM Skudai pula, daripada 10 kerusi yang ditawarkan Pro Mahasiswa hanya menghantar 9 orang calon.
Berdasarkan perkiraan mudah, Evolusi Mahasiswa telah sah untuk memiliki 13 kerusi yang dipertandingkan mengikut pecahan berikut.
1 kerusi FKA, 3 kerusi FKBSK (menang tanpa bertanding), 2 kerusi FBB, 1 kerusi FKKKSA, 1 kerusi FSKSM, 4 kerusi UTM International Campus (menang tanpa bertanding) dan 1 kerusi Umum.
Ini bermakna, Evolusi Mahasiswa telah mengusai ¼ kerusi Majlis Perwakilan Pelajar UTM dan hanya memerlukan hanya 13 kerusi lagi untuk menang dengan majoriti mudah dalam Pilihanraya Kampus 2010 Universiti Teknologi Malaysia.
1Malaysia, 1UTM, 1Mahasiswa, 1Aspirasi
P'raya kampus: Proses penamaan calon panas
Sumber : Malaysiakini
Proses penamaan calon bagi pilihan raya kampus di empat universiti awam berlangsung hari ini dalam suasana panas, terutama di Universiti Malaya (UM) di mana para penyokong yang berbaju oren dan hitam melaungkan slogan antara satu sama lain.
Kira-kira 200 penyokong pro-M di Universiti Malaya, ramai daripadanya memakai baju oren, berarak ke pusat penamaan calon pagi ini. Manakala kira-kira 200 penyokong pro-Aspirasi turut berkumpul di fakulti sains, dekat pusat penamaan calon.
Manakala penyokong pro-Aspirasi pula membalas dengan melaungkan slogan 'pro-M alat PKR'
Sejumlah 41 kerusi di pertandingkan di UM kali ini. Pro-M mengemukakan 32 calon manakala pro-Aspirasi bertanding di semua 41 kerusi.
Tiga lagi universiti yang terbabit dalam proses penamaan calon hari ini ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Suasana di UKM juga panas di mana masing-masing 200 penyokong Pro-M dan 100 pro-Aspirasi, hadir untuk menyokong calon mereka.
Di UKM, selepas penamaan calon tadi, pro-M menang satu kerusi tanpa bertanding. Manakala 34 kerusi lagi akan dipertandingkan pada 28 Januari ini.
UTM pula bertandingkan 51 kerusi - 46 kerusi di kampus Skudai dan lima kerusi di kampus Kuala Lumpur.
Di Skudai, Pro-M meletakkan 43 calon dan pro-Aspirasi 46 calon, tetapi belum dapat dipastikan keadaannya di Kuala Lumpur.
Turut bertanding kali ini ialah enam calon bebas.
Proses penamaan calon di UM, UKM dan USM berjalan dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari, dan dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari bagi kampus UTM.
Srikandi Pro M bersama Mahasiswa Cina
Wushu adalah olahraga atau seni beladiri dari China . Selain untuk olahraga dan membela diri, wushu juga merupakan suatu bentuk seni. Dengan demikian wushu menggabungkan teknik melindungi diri, memperkuat fizikal, dan nilai hiburan serta seni.
Beberapa pergerakan asas yang telah diajar kepada srikandi Pro M pada petang tersebut. Antaranya ialah 2 cara pergerakan yang melibatkan Kaki (10 teknik) dan tangan (10 teknik). Walaupun masa agak singkat, tetapi rata-rata yang hadir berpuas hati dan tertarik dengan seni wushu yang diajarkan oleh Chung Pei Ni.
Program bersama mahasiswa cina mahupun india bukanlah kali pertama malah sering kali diadakan seperti lawatan Pro M ke pesta tanglung dan pesta tahun baru cina, pesta ponggal yang disambut oleh masyarakat india dan juga perlawanan persahabatan bola sepak antara Mahasiswa hindu dan juga Pro Mahasiswa. Pro Mahasiswa amat berharap hubungan antara kaum di UTM dapat disuburkan bagi merealisasikan agenda perpaduan demi kesejahteraan semua.
Turut hadir dalam aktiviti pada petang itu adalah saudari Siti Hadjar, Mantan Timbalan Presiden MPPUTM sesi 08/09.
Student Power!!!
Sumber : Pro Mahasiswa UTM
Pro-M diterima, pro-aspirasi makin hilang pengaruh
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Pro-mahasiswa (pro-M) Nasional mengucapkan tahniah kepada kumpulan pro-M di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang telah memenangi sebanyak 11 daripada 12 kerusi yang telah dipertandingkan dalam pilihan raya kampus, semalam.
Pengerusinya, Mohd Shafie Hashim berkata, walaupun terdapat halangan demi halangan oleh pihak pentadbiran dan 'tangan ghaib' yang tidak bertanggungjawab, namun kumpulan pro-M berjaya di UMT.
“Kemenangan ini membuktikan bahawa perjuangan pro-mahasiswa diterima oleh semua dan pro-aspirasi semakin hilang pengaruhnya,” ujarnya yang juga Pengerusi pro-M Universiti Malaya.
Katanya, kemenangan itu merupakan gelombang awal sebaik sahaja Misi-10 dilancarkan oleh pro-mahasiswa baru-baru ini.
“Selepas ini, pro-M akan terus meningkat usaha sehabis mungkin untuk memastikan gelombang kemenangan di UMT ini akan terus dibawa ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dijangka tahu keputusannya 21 Januari ini dan seterusnya meresap ke kampus-kampus utama yang lain yang dijangkakan penghujung Januari ini,” katanya.
Sejak UMT dinaik taraf sebagai sebuah universiti pada 2007, tahun ini merupakan pertama kali dalam sejarah pro-aspirasi tumbang teruk apabila dalam pilihan raya kampus yang berakhir semalam di mana telah dimenangi pro-M yang baru dizahirkan kewujudannya pada kali ini.
Sumber : Harakahdaily
Khaled Nordin digesa dengar hasrat mahasiwa
Kerajaan pusat, terutamanya kementerian pengajian tinggi digesa supaya bersikap terbuka dan sedia mendengar hasrat mahasiswa dengan memansuhkan sistem e-undi dalam pilihan raya kampus.
Gesaan itu dibuat oleh setiausaha publisiti DAP Selangor, Tiew Way Keng ketika mengulas perhimpunan kira-kira 50 mahasiswa di Putrajaya semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap e-undi, kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.
Mereka terdiri daripada Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Shahruddin Mohd Rosli yang merupakan aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM) dan wartawan Harakah, Zainulfaqar Yaacob.
Mohd Shahruddin dibebaskan sejurus selepas itu manakala Shazni Munir dan Zainulfaqar dibebaskan kira-kira jam 7 petang semalam setelah memberikan keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya Presint 7.
Mahasiswa yang berhimpun semalam adalah dari SMM, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Pro-Mahasiswa Nasional, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah).
Tiew berkata, mereka hanya pergi ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum itu kepada menteri pengajian tinggi.
“Jadi, mereka hanyalah berhimpun secara aman sebelum mereka dapat bertemu dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kementerian pengajian tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kumpulan mahasiswa tersebut bukan sahaja tidak dapat bertemu dengan menteri berkenaan tetapi dua mahasiswa itu ditahan, sebaik sahaja mereka bertemu dengan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi.
Menurut Tiew, menurut Artikel 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan, hak berkumpul secara aman tanpa senjata adalah dibenarkan.
Beliau juga kecewa dengan penahanan wartawan Harakah itu kerana menurutnya ia menghalang Zainulfaqar daripada menjalankan tugasnya sebagai seorang wartawan.
“Menurut laporan, perhimpunan tersebut bersurai apabila pihak polis menghalang kumpulan mahasiswa daripada berkumpul di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi.
“Jadi, mengapakah pihak polis masih menyiasat dua orang mahasiswa yang ditahan itu di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam,” soalnya.
Tiew juga menggesa kementerian pengajian tinggi supaya memansuhkan sistem e-undi dan memastikan pilihan raya kampus dijalankan dengan adil dan bersih.
Sementara itu, dalam reaksinya, Bernama melaporkan Khaled berkata, kementeriannya tidak menghalang mana-mana pelajar untuk mengemukakan memorandum tetapi penyerahan itu perlu mematuhi undang-undang dan bersesuaian dengan masa.
"Saya galakkan pelajar hantar memorandum tapi biarlah masa yang sesuai dan mestilah patuhi undang-undang.
"Pokoknya sekarang ialah musim pilihan raya kampus, apa sahaja cara digunakan untuk mendapatkan publisiti," katanya.
Beliau yakin semua pelajar bersikap matang dan memahami proses berkenaan.
Beliau memberita pemberita demikian selepas majlis perasmian dan pecah tanah Pusat Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bharu hari ini.
Sumber : Malaysiakini
Mahasiswa UTM semakin berani bersama Pro Mahasiswa, Tahniah!! - Pengerusi Pro M
Skudai, 17hb Jan 2010 : Kehangatan pilihanraya kampus UTM semakin dirasai oleh mahasiswa khususnya penggerak Pro Mahasiswa UTM mahupun Evolusi sendiri.
Pertembungan dua kelompok mahasiswa ini dilihat sebagai pertembungan dua entiti yang mempunyai gaya dan cara tersendiri. Pertembungan ini telah mendapat perhatian daripada mahasiswa yang menjadi penilai kepada situasi yang berlaku. Kesan kepada penilaian ini akan diterjemahkan dalam kertas undi sedikit masa lagi.
Pro Mahasiswa setakat ini telah dijemput oleh banyak pihak sama ada melalui persatuan mahupun individu untuk mendapatkan penjelasan berkenaan gagasan perjuangan yang ingin dibawa. Dan dalam siri pertemuan tersebut, beberapa kumpulan dan individu mula menyatakan kesediaan untuk menyertai Pro Mahasiswa.
Kesediaan mereka untuk bersama adalah atas dasar keyakinan bahawa Pro Mahasiswa dapat membawa satu kelainan dalam gagasan baru kepimpinan di peringkat kampus UTM. Solidariti diperingkat Pro Mahasiswa kampus IPT seluruh negara juga dilihat sebagai satu “signal” bahawa perjuangan Pro Mahasiswa adalah satu keseriusan.

Justeru, beberapa individu dari kalangan MPP Evolusi yang bertanding pada pilihanraya kampus lepas dan Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej yang baru dilantik telah bersedia untuk mengisytiharkan diri sebagai Penggerak Pro Mahasiswa manakala individu yang terlibat dalam JKM kolej telah bersedia untuk meletakkan jawatan untuk bertanding atas tiket Pro Mahasiswa. Perkara ini telah disampaikan kepada Ketua Jentera sendiri, Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami.
Mungkin ini adalah penterjamahan kepada suara tidak puas hati mahasiswa terhadap sekatan yang dilakukan terhadap Pro M dan sikap pilih kasih pihak pentadbiran mahupun campur tangan daripada pihak pengetua dalam soal pilihanraya kampus mahasiswa.
“Kami masih memberi ruang kepada beberapa orang individu tersebut untuk berfikir sebelum melakukan tindakan ini. Namun, di peringkat Pro Mahasiswa kami sangat mengalu-alukan semua mahasiswa untuk bersama-sama dalam perjuangan kami” Jelas Saudara Amin.
Tambah beliau lagi, “Dalam sedikit masa lagi, kita akan umumkan siapa mereka. Diharapkan ini akan lebih meyakinkan semua mahasiswa tentang kepimpinan mana yang sepatutnya mereka pilih pada pilihanraya kampus akan datang.”
Salah seorang individu daripada JKM Kolej yang bakal bertanding atas tiket Pro Mahasiswa menyatakan keputusan yang dibuat adalah nekad atas kesedaran diri sendiri dan bukanlah atas paksaan mana-mana pihak.
“Mahasiswa UTM semakin berani bersama Pro Mahasiswa, Tahniah!!. Oleh itu, saya mempelawa kepada semua Mahasiswa UTM untuk bersama-sama kami dalam memperjuangkan hak mahasiswa yang lain.
"Saya tahu, pihak evolusi memberi memberikan anda baju secara percuma tapi tidak mengapa, anda ambillah. Namun, apabila tiba masa mengundi bakal kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar kelas, berfikirlah secara bijak dan matang sebelum mengundi kerana anda adalah mahasiswa yang sudah boleh menilai.” kata Saudara Azim, Pengerusi Pro Mahasiswa UTM semasa ditemui dalam Forum Isu-Isu Islam Mutakhir anjuran PMIUTM sebentar tadi.
Sumber : Pro Mahasiswa UTM
PMIUTM mempengerusi perbincangan antara Pro-M dan Evo-M
Laporan oleh : Asmah Binti Andy
Skudai, 13hb Jan: Semalam telah berlangsung satu pertemuan di antara Presiden PMIUTM, Saudara Mohd Khairul B. Abdullah Halim dengan peggerak utama bagi dua entiti mahasiswa yang akan bertanding dalam pilihanraya kampus UTM yang bakal berlangsung pada 28hb Januari akan datang. Pertemuan tersebut yang diadakan atas inisiatif pihak PMIUTM disambut baik oleh kedua-dua wakil kumpulan yang terlibat iaitu Pro-Mahasiswa dan Evolusi Mahasiswa. Pro-Mahasiswa diwakili oleh Saudara Nur Azim Fahada Ahmad, pengerusi Pro-M UTM merangkap Exco Kebajikan MPM UTM manakala pihak Evolusi Mahasiswa UTM pula diwakili oleh Saudara Abdul Hadi Abdul Halim, Presiden MPM UTM, Saudara Mohd Zaki Bin Omar, Naib Presiden Fakulti MPM UTM, Saudara Mohd Izwan Yusof, Naib Presiden Kolej MPM UTM serta pembantu felo Kolej Dato Onn Jaafar (KDOJ).

Saudara Mohd Khairul ketika ditemui berkata, pertemuan tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan berkenaan dengan isu-isu yang berlegar di sekitar PRK UTM yang bakal berlangsung pada akhir Januari ini.
“Pertemuan ini diadakan adalah disebabkan beberapa insiden provokasi yang berlaku baru-baru ini di antara kedua-dua belah pihak. Di sini, PMIUTM memandang serius tentang provokasi yang berlaku sehingga menyebabkan suasana menjelang PRK pada kali ini menjadi semakin panas.”
“Pihak PMIUTM bukannya berniat untuk menyekat kehangatan gelombang PRK yang diciptakan oleh kedua-dua belah pihak, namun suasana “panas” yang sedang berlaku dilihat tidak menguntungkan mahasiswa. Apa yang berlaku fitnah-memfitnah serta ugut-mengugut dan beberapa kejadian yang tidak sepatutnya. Saya takut perkara-perkara ini menjadi satu budaya yang tidak baik dalam kalangan mahasiswa”, tambah beliau.

“Oleh yang demikian, kami mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan kedua-dua belah pihak bagi membincangkan tentang isu-isu yang timbul di samping cuba mencari penyelesaian yang terbaik supaya perjalanan PRK pada tahun ini berlaku dalam suasana yang lebih intelektual, menunjukkan kematangan mahasiswa berpolitik, bukan hanya provokasi murahan yang menunjukkan mahasiswa yang tidak bertamadun dan tidak berpendidikan.”
Jelas beliau lagi, hasil daripada pertemuan tersebut, kedua-dua belah pihak telah mencapai kata sepakat untuk cuba mengurangkan provokasi-provokasi yang boleh menjejaskan jentera masing-masing dan menjejaskan nama baik UTM. Di samping itu, mereka akan bertanding dalam suasana yang sihat dengan menonjolkan kredibiliti, kehebatan serta kematangan calon-calon yang mewakili kedua-dua kumpulan tersebut. Calon-calon juga akan diberi ruang yang seluas-luasnya dalam sesi rapat umum yang bakal diadakan dalam tempoh kempen yang akan diadakan selepas sesi penamaan calon.
Pertemuan selama hampir 2 jam itu turut membincangkan tentang matlamat kedua-dua kumpulan yang bertanding.
“Pada dasarnya saya melihat bahawa apa yang diperjuangkan oleh kedua-dua belah pihak hampir sama, iaitu seiring dengan aspirasi universiti itu sendiri. Mendokong gagasan budaya ilmu yang telah digagaskan oleh Dato’ Naib Canselor, menghasilkan mahasiswa yang berintelektual serta memperjuangkan kebajikan mahasiswa merupakan matlamat yang cuba dibawa oleh kedua-dua belah pihak. Walaubagaimanapun, method yang dibawakan oleh kedua-dua pihak berlainan. Masing-masing mempunyai pendirian yang tersendiri. Sebagai contoh, pihak Pro-Mahasiswa nampak lebih terbuka dalam membawa ideologi mereka ” jelas Khairul.
"Dalam perbincangan ini juga, kami bersepakat mengenai penglibatan pengetua-pengetua kolej kediaman terhadap pilihanraya kampus. Manipulasi daripada pihak pengetua harus dihentikan segera agar pilihanraya kampus akan datang bersih daripada campur tangan pihak luar "
Kedua-dua kumpulan tersebut juga turut memperjuangkan supaya dibentuk kumpulan-kumpulan politik yang mewakili mahasiswa dalam pilihanraya kampus akan datang. Menurut Abdul Hadi, pihak MPMUTM telahpun menggagaskan idea tersebut kepada pihak pentadbiran UTM namun sehingga kini masih belum diluluskan.
“PMIUTM mengharapkan agar pilihanraya kampus pada kali ini dapat berlangsung dengan penuh demokrasi, harmonis dan berintegriti. Inilah pilihanraya kampus. Mahasiswa yang dianggap sebagai golongan berpendidikan, yang berada dalam suasana ilmu sepatutnya mempamerkan akhlak yang terpuji, bukannya menampakkan kita sebagai golongan yang mudah untuk dimanipulasi untuk mengikut suasana di luar kampus. Kami juga menyeru kepada seluruh warga mahasiswa UTM agar sedar akan kepentingan pilihan raya kampus sebagai medan untuk memilih pimpinan mahasiswa. Buatlah pilihan yang terbaik. Biarlah MPM yang bakal dibentuk nanti adalah pemimpin mahasiswa yang boleh membawa suara mahasiswa dan bukannya pemimpin yang menjadi boneka pada mana-mana pihak” tambah Khairul.
Sumber : PMIUTM
Pilihan Raya Kampus: Pro-Mahasiswa tekad kuasai MPM
Sumber : Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Jan: Menjelang Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi 09/10 yang dijangka penghujung Januari ini, kumpulan Pro-Mahasiswa kini mula serius menggerakkan jentera mereka dalam usaha memenangi kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di kampus masing-masing.
MiSi-10 terdiri daripada gabungan beberapa front yang di ketuai oleh PRO-Mahasiswa bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) , Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) , Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (BANTAH).
Mereka juga turut disokong olek kumpulan Pro-Mahasiswa di 10 kampus utama seluruh negara.
Dalam satu kenyataan bersama mereka memberitahu, Pelancaran MiSi-10 sebagai isyarat awal mereka menuntut ruang pemilihan yang adil.
"Ini isyarat awal menunjukan bahawa keseriusan kami di peringkat mahasiswa untuk memastikan pilihan raya kampus yang akan berlansung dilaksanakan dalam satu ruang padang yang adil demi melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti bagi membela nasib mahasiswa yang lain khasnya dan nasib rakyat Malaysia umumnya," kenyataan mereka dipetik.
Mereka juga turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak universiti melihat kepada beberapa kronologi kes yang berlaku sepanjang tahun 2009 yang didakwa mereka sebagai kongkongan terhadap demokrasi kampus.
Selain itu isu halangan penganjuran Forum E-Undi dan tuduhan mahasiswa UKM sebagai Pro-Israel juga ujar mereka suatu yang menghalang mahasiswa beridealisme.
"MiSi-10 melihat bahawa isu-isu yang berlaku telah mencalarkan imej dan fungsi sebuah universiti yang seharusnya disuburkan dengan budaya dan suasana demokrasi yang memberikan keselesaan kepada mahasiswa untuk beridealisme dan melaksanakan aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri," kata mereka lagi.
Sehubungan itu mereka menuntut pihak universiti bertindak telus dan adil pada PRK akan datang dengan membenarkan kehadiran pemantau bebas dari luar.
Ianya juga termasuk menghapuskan sistem pengundian elektronik (e-undi) pada PRK kali ini dan akan datang.
Selain itu mereka turut menggesa agar pihak universiti mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa untuk berhimpun, bersuara, berpersatuan dan kebebasan akademik.
Pihak universiti juga gesa mereka perlu menjaga keselamatan calon dan mahasiswa daripada ancaman pihak-pihak tertentu semasa proses pilihanraya berlangsung.
Pengetua Kolej 11 dipersoal tentang aduan mahasiswa
Oleh : Pro Mahasiswa UTM
UTM Skudai, 12 Jan - Seramai sebelas orang warga Kolej 11 terdiri daripada peserta PALAPES dan ahli JKM telah berjumpa dengan Ketua Jentera Pro-M, Saudara Mohd Amin Hamami semalam bagi menyatakan kerisauan mereka terhadap tindakan Pengetua mereka.Kerisauan mereka timbul akibat ugutan yang dibuat oleh pihak pentadbiran kolej yang menyatakan akan mengenakan tindakan buang kolej dan digugurkan daripada PALAPES sekiranya mereka terlibat dengan jentera Pro-M.
Mereka mendakwa bahawa pengetua Kolej 11, Dr. Sulaiman bin Kadikon pernah memberi amaran kepada seluruh pelatih PALAPES dalam satu perjumpaan agar tidak melibatkan diri sebagai penggerak Pro Mahasiswa.
Ironinya, pengetua juga telah mengumpulkan beberapa pelatih PALAPES dan ahli JKM untuk menjadi sebahagian daripada jentera penggera Evolusi Mahasiswa yang turut terlibat dalam Pilihan Raya Kampus yang akan datang.
"Kami berhasrat agar saudara Amin dapat berunding dengan Pengetua kami agar kami bebas memilih, dan bergerak di dalam jentera Pro-M" harapan mereka kepada Ketua Jentera Pro M.
Mereka juga berharap agar Amin dapat memperjuangkan isu ini supaya mahasiswa tidak lagi takut dan pengetua-pengetua lain tidak mengugut warga kolej mereka dengan ugutan sedemikian.
Saudari Amin menerima kunjungan mereka dengan berbesar hati. Beliau juga turut berasa bersimpati kepada nasib pejuang-pejuang mahasiswa yang ditekan oleh beberapa pihak.
"InsyaAllah kami akan cuba untuk berunding dengan beliau dan menggesa agar perkara ini tidak berlaku di pembukitan ilmu ini. Kami akan nyatakan pendirian kami tentang penglibatan pengetua dalam pilihanraya kampus" tegas beliau.
Pro-Mahasiswa lancar Misi-10 tawan MPP kampus IPTA
Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Jan 12 — Kumpulan Pro-Mahasiswa melibatkan 14 universiti awam melancarkan MiSi-10 — sasaran menawan kampus dalam pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berlangsung bulan ini sambil menggesa pengurusan universiti agar mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, kumpulan itu mahu pilihan raya telus dan seimbang diadakan untuk memilih kepimpinan yang berwibawa, berintegriti serta akauntabiliti bagi membela nasib mahasiswa.
Sebahagian besar universiti awam tempatan akan mengadakan pemilihan MPP secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini bagi semestar pengajian 2009/2010 — pendekatan yang digunakan sejak sesi pengajian lalu.
Empat belas universiti yang diwakili kumpulan Pro-Mahasiswa itu setakat ini ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tenaga Malaysia, Universiti Industri Selangor, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Utara Malaysia.
Bagaimanapun pilihan raya kampus Universiti Utara Malaysia sudah pun berlangsung semester lalu dan dikuasai oleh kumpulan Pro-Aspirasi Mahasiswa.
Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Malaysia Terengganu sudah membubarkan MPP. Proses pencalonan bagi MPP Universiti Malaysia Terengganu telah berlangsung minggu lalu.
Pada sesi pengajian lalu kumpulan Pro-Mahasiswa hanya menguasai dua universiti, bakinya oleh Pro-Aspirasi.
MiSi-10 merupakan gabungan barisan yang diketuai oleh Pro-Mahasiswa berganding bahu bersama badan mahasiswa yang lain iaitu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Pergerakan Pemuda dan Pelajar Demokratik (Dema), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah).
Kumpulan itu juga menuntut agar pengurusan universiti membenarkan kehadiran ejen pemantauan dari luar sepanjang pemilihan kampus diadakan.
Ketika dihubungi wakil sekretariat SMM Hilman Idham berkata, pilihan raya kampus yang semakin hampir adalah perkara yang sangat signifikan untuk mahasiswa melibatkan diri dalam memastikan pengaruh mahasiswa masih lagi bertaring pada pandangan massa.
“MiSi-10 merupakan isyarat awal menunjukan bahawa keseriusan kami di peringkat mahasiswa untuk memastikan pilihan raya kampus dijalankan dalam ruang padang yang adil demi melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti,” katanya.
Isu-isu yang akan diketengahkan oleh pihaknya ialah kes lapan mahasiswa UM disabitkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ekoran tindakan mereka menjemput ahli politik untuk merasmikan program mahasiswa, pelaksanaan sistem e-undi, kes conteng “Rosmah puaka” di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam UM dan tuduhan berkaitan ke atas lima mahasiswa dan penafian hak calon peringkat umum di Universiti Malaysia Terengganu, mahasiswa UKM difitnah pro-Israel.
“MiSi-10 melihat bahawa isu-isu ini telah mencalarkan imej dan fungsi sebuah universiti yang seharusnya disuburkan dengan budaya dan suasana demokrasi yang memberikan keselesaan kepada mahasiswa untuk beridealisme dan melaksanakan aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, MiSi-10 juga mengemukakan empat tuntutan iaitu mnyediakan ruang demokrasi yang bebas dan adil di semua kampus, mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa berhimpun, bersuara dan berpersatuan dan kebebasan akademik, pelaksanaan sistem e-undi dimansuhkan serta menjaga keselamatan calon dan mahasiswa dalam proses pilihan raya.
Sumber : Warga Marhaen
"BANTAH lancar petisyen online, sedia ke jalan raya"
KUALA LUMPUR, 12 Jan: Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (Bantah) melancarkan kempen petisyen online serta kutipan 10,000 tandatangan sebagai referendum mendesak agar sistem pengundian secara elektronik atau e-undi dimansuhkan segera dari diguna pada Pilihan Raya Kampus akan datang ini.
Pengerusinya, Mohd Aizat Salleh memaklumkan, petisyen dan kutipan tandatangan tersebut akan diserahkan kepada beberapa pihak berkaitan termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan antarabangsa dan juga Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT).
"Petisyen dan kutipan tandatangan ini seterusnya akan diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Amnesty International Malaysia (AIM), Malaysian For Free and Fair Election (MAFREL) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)," katanya.
Ia bertujuan bagi NGO-NGO terbabit bertindak menyiasat dan mengkaji dakwaan ketidaktelusan sistem tersebut.
Selain itu ujar Aizat, ia juga sebagai aduan mahasiswa terhadap pencabulan hak asasi serta hak kebebasan akademik dan mahasiswa di dalam universiti.
"Bantah berharap NGO seperti Amnesty International Malaysia (AIM) selaku pertubuhan bertaraf antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi masyarakat dunia, agar membawa isu ini ke peringkat antarabangsa", katanya lagi.
Petisyen online tersebut boleh dibuat dengan melayari pautan laman http://www.petisyen.com/petition/31/referendum_mansuhkan_penggunaan_sistem_e_undi_di_dalam_pilihan_raya_kampus.html
Behubung KPT pula, beliau memberitahu, referendum kali ini sebagai penerusan kepada bantahan setelah melihat beberapa memorandum yang dihantar sebelum ini tidak diberi respon baik oleh pihak kementerian.
Namun tegasnya, jika usaha kali ini juga gagal, mereka akan menggunakan jalan raya sebagai medan bantahan kali berikutnya.
"Ia adalah tindakan profesional terakhir kita setelah memorandum-memorandum bantahan yang dikemukakan oleh Bantah sebelum ini dibakul-sampahkan oleh KPT.
"Jika usaha ini tidak juga berhasil, dan KPT tetap dengan pendiriannya, maka Bantah akan memobilasi ribuan mahasiswa untuk turun ke jalan raya berdemonstrasi sebagai jalan terakhir," katanya.
Sebelum ini, selain memorandum, Bantah turut menganjurkan forum membincangkan dakwaan kepincangan dalam sistem e-undi.
Beberapa aspek yang dibantah termasuklah dari segi kerahsiaan pengundi, wujud ruang manipulasi, kos yang tinggi, pencerobohan jika berlaku masalah teknikal dan pencabulan hak mahasiswa.
Sumber : Harakahdaily
