PMIUTM mempengerusi perbincangan antara Pro-M dan Evo-M

Posted by Utm Today Friday, January 15, 2010

Laporan oleh : Asmah Binti Andy


Skudai, 13hb Jan: Semalam telah berlangsung satu pertemuan di antara Presiden PMIUTM, Saudara Mohd Khairul B. Abdullah Halim dengan peggerak utama bagi dua entiti mahasiswa yang akan bertanding dalam pilihanraya kampus UTM yang bakal berlangsung pada 28hb Januari akan datang. Pertemuan tersebut yang diadakan atas inisiatif pihak PMIUTM disambut baik oleh kedua-dua wakil kumpulan yang terlibat iaitu Pro-Mahasiswa dan Evolusi Mahasiswa. Pro-Mahasiswa diwakili oleh Saudara Nur Azim Fahada Ahmad, pengerusi Pro-M UTM merangkap Exco Kebajikan MPM UTM manakala pihak Evolusi Mahasiswa UTM pula diwakili oleh Saudara Abdul Hadi Abdul Halim, Presiden MPM UTM, Saudara Mohd Zaki Bin Omar, Naib Presiden Fakulti MPM UTM, Saudara Mohd Izwan Yusof, Naib Presiden Kolej MPM UTM serta pembantu felo Kolej Dato Onn Jaafar (KDOJ).



Saudara Mohd Khairul ketika ditemui berkata, pertemuan tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan berkenaan dengan isu-isu yang berlegar di sekitar PRK UTM yang bakal berlangsung pada akhir Januari ini.
“Pertemuan ini diadakan adalah disebabkan beberapa insiden provokasi yang berlaku baru-baru ini di antara kedua-dua belah pihak. Di sini, PMIUTM memandang serius tentang provokasi yang berlaku sehingga menyebabkan suasana menjelang PRK pada kali ini menjadi semakin panas.”

“Pihak PMIUTM bukannya berniat untuk menyekat kehangatan gelombang PRK yang diciptakan oleh kedua-dua belah pihak, namun suasana “panas” yang sedang berlaku dilihat tidak menguntungkan mahasiswa. Apa yang berlaku fitnah-memfitnah serta ugut-mengugut dan beberapa kejadian yang tidak sepatutnya. Saya takut perkara-perkara ini menjadi satu budaya yang tidak baik dalam kalangan mahasiswa”, tambah beliau.

“Oleh yang demikian, kami mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan kedua-dua belah pihak bagi membincangkan tentang isu-isu yang timbul di samping cuba mencari penyelesaian yang terbaik supaya perjalanan PRK pada tahun ini berlaku dalam suasana yang lebih intelektual, menunjukkan kematangan mahasiswa berpolitik, bukan hanya provokasi murahan yang menunjukkan mahasiswa yang tidak bertamadun dan tidak berpendidikan.”

Jelas beliau lagi, hasil daripada pertemuan tersebut, kedua-dua belah pihak telah mencapai kata sepakat untuk cuba mengurangkan provokasi-provokasi yang boleh menjejaskan jentera masing-masing dan menjejaskan nama baik UTM. Di samping itu, mereka akan bertanding dalam suasana yang sihat dengan menonjolkan kredibiliti, kehebatan serta kematangan calon-calon yang mewakili kedua-dua kumpulan tersebut. Calon-calon juga akan diberi ruang yang seluas-luasnya dalam sesi rapat umum yang bakal diadakan dalam tempoh kempen yang akan diadakan selepas sesi penamaan calon.
Pertemuan selama hampir 2 jam itu turut membincangkan tentang matlamat kedua-dua kumpulan yang bertanding.

“Pada dasarnya saya melihat bahawa apa yang diperjuangkan oleh kedua-dua belah pihak hampir sama, iaitu seiring dengan aspirasi universiti itu sendiri. Mendokong gagasan budaya ilmu yang telah digagaskan oleh Dato’ Naib Canselor, menghasilkan mahasiswa yang berintelektual serta memperjuangkan kebajikan mahasiswa merupakan matlamat yang cuba dibawa oleh kedua-dua belah pihak. Walaubagaimanapun, method yang dibawakan oleh kedua-dua pihak berlainan. Masing-masing mempunyai pendirian yang tersendiri. Sebagai contoh, pihak Pro-Mahasiswa nampak lebih terbuka dalam membawa ideologi mereka ” jelas Khairul.

"Dalam perbincangan ini juga, kami bersepakat mengenai penglibatan pengetua-pengetua kolej kediaman terhadap pilihanraya kampus. Manipulasi daripada pihak pengetua harus dihentikan segera agar pilihanraya kampus akan datang bersih daripada campur tangan pihak luar "

Kedua-dua kumpulan tersebut juga turut memperjuangkan supaya dibentuk kumpulan-kumpulan politik yang mewakili mahasiswa dalam pilihanraya kampus akan datang. Menurut Abdul Hadi, pihak MPMUTM telahpun menggagaskan idea tersebut kepada pihak pentadbiran UTM namun sehingga kini masih belum diluluskan.

“PMIUTM mengharapkan agar pilihanraya kampus pada kali ini dapat berlangsung dengan penuh demokrasi, harmonis dan berintegriti. Inilah pilihanraya kampus. Mahasiswa yang dianggap sebagai golongan berpendidikan, yang berada dalam suasana ilmu sepatutnya mempamerkan akhlak yang terpuji, bukannya menampakkan kita sebagai golongan yang mudah untuk dimanipulasi untuk mengikut suasana di luar kampus. Kami juga menyeru kepada seluruh warga mahasiswa UTM agar sedar akan kepentingan pilihan raya kampus sebagai medan untuk memilih pimpinan mahasiswa. Buatlah pilihan yang terbaik. Biarlah MPM yang bakal dibentuk nanti adalah pemimpin mahasiswa yang boleh membawa suara mahasiswa dan bukannya pemimpin yang menjadi boneka pada mana-mana pihak” tambah Khairul.

Sumber : PMIUTM

0 comments:

Post a Comment

Facebook UTM Today

About Me

Utm Today
UTM Today akan memaparkan kepada anda berita-berita disekitar kampus UTM sama ada berita universiti, persatuan-persatuan dan juga aktiviti-aktiviti serta suara-suara mahasiswa. Sebarang berita dan suara-suara anda yang ingin disampaikan kepada kami boleh di hantar ke utmtoday10@gmail.com
View my complete profile

Apa wajar mahasiswa dibenarkan berpolitik? apa pandangan mahasiswa UTM?

Pilihanraya kampus UTM

Pilihanraya kampus UTM

Ingin berkongsi dengan kami??

Ingin berkongsi dengan kami??

Web Site Hit Counter

Komen dan pandangan


ShoutMix chat widget

Gelagat Mahasiswa

Gelagat Mahasiswa

Blog Archive