Oleh : Noor Aimran Samsudin*
Tahun 2010 bakal menyaksikan persaingan yang agak sengit dalam Pilihan Raya Kampus (RPK). Ini bukanlah suatu yang pelik jika hendak dibandingkan dengan PRK di kampus utama di seluruh Malaysia, terutamanya di universiti yang telah lama ditubuhkan. Dari PRK jugalah lahirnya beberapa tokoh-tokoh pemimpin yang telah, sedang dan akan memimpin negara. Namun persaingan yang dikatakan sengit pada sesetengah pihak ini bukanlah dari aspek penonjolan kemahiran kepimpinan masing-masing seperti kemahiran berpidato dan sebagainya, malangnya lebih kepada kemahiran membuat provokasi yang tidak berasas antara satu sama lain. Pihak A mendakwa mereka adalah itu dan ini manakala pihak B pula menafikannya lalu membalasnya pula dengan provokasi tertentu. Maka berlakulah saling tuduh menuduh, timbulnya perasaan tidak puas hati, tidak percaya antara satu sama lain, menulis di laman-laman maya dengan kata-kata nista dan menjijikan yang saling keji-mengeji antara satu sama lain, bagi saya tidak layak langsung digelar sebagai mahasiswa di abad ini!
Mana mungkin kita hendak samakan politik di luar sana. Lihatlah apa yang ditonjolkan pemimpin kita tak kira lah dari parti mana pun, tidak lebih tidak kurang hanya bercakaran di sebuah dewan yang sepatutnya digunakan untuk membincangkan perihal keperluan rakyat. Dakwaan ini, berasaskan apa yang dilaporkan di media-media massa sekarang. Laporan saban hari dari media sama ada arus perdana atau alternatif yang saling menunjukkan kelemahan, kesilapan, keburukan, dan keaiban para pemimpin kita. Malangnya apa yang diperjuangkan, diusahakan, dikerjakan oleh para pemimpin gagal ditonjolkan lalu mencipta suatu perspektif bahawa itulah dunia politik yang asyik bercakaran lalu menidakkan peranan sebenar pemimpin mereka. Apatah lagi dari dunia politik Islam. Saya yakin masih ada mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan kebajikan rakyat namun seringkali tidak mendapat peluang, atau ditutupi oleh cerita-cerita yang mengarut dan langsung tidak masuk akal seperti YB berkahwin dengan artis, YB ini suruh letak jawatan dan sebagainya.
Inilah yang saya perhatikan sudah mula dibawa masuk ke dalam pemikiran mahasiswa kita. Mengapa perangai, sifat dan keperibadian yang buruk itu hendak dimasukkan dalam pemikiran kita? Sedangkan kita sebagai golongan yang dikatakan cerdik pandai oleh masyarakat melakukan perkara sama seperti mana yang telah dilakukan oleh pemimpin kita di luar sana? Mengapa tidak kita mempelajari perkara-perkara yang lebih baik? Saya sedikit kecewa apabila ditanyakan pendapat kepada golongan tertentu ini, mengapa perlu dilakukan semua ini dalam PRK kita? Katanya tanpa serangan provokasi ini maka tak meriah lah suasananya. Apa yang meriahnya kalau keperibadian seseorang itu diserang? Cacian dan makian dengan perkataan nista berpanjangan? Tuduh menuduh antara satu sama lain terus berlaku? Apakah itu dinamakan kepimpinan sebenar yang kita cuba bentuk dari kalangan pemimpin muda? Sepanjang terlibat dalam dunia kepimpinan ini, berapa ramai pemimpin yang bergelumang dengan dunia pengetahuan, membaca buku dan berdiskusi isu-isu semasa secara membina atau ilmiah selain perkara utama menjaga hal ehwal kebajikan mahasiswa? Cukupkah dengan hanya membaca blog picisan, komen-komen sampah di Facebook, flyers (juga menjadi sampah) dan mendengar dari sumber yang belum tentu kebenarannya lalu kita menjadikannya sebagai panduan utama? Tidak. Itu tidak cukup.
Oleh itu marilah kita kembali semula kepada semangat PRK yang sebenar. Iaitu melatih, mencari dan menggarap kemahiran bakal pemimpin. Jangan dihalang perasaan berkobar-kobar golongan mahasiswa ini. Berikan peluang (dengan syarat kita mengikut peraturan). Binalah pelbagai kemahiran. Ambillah peluang menjalinkan perhubungan yang lebih sihat, membantu kepada mereka yang memerlukan, jangan lupa masyarakat kita di luar sana yang masih ramai menunggu mahasisawa kita untuk turun bersama. Binalah suatu ketumbukan kepimpinan universiti yang berkualiti, bekreadibiliti, berkarisma, berkemahiran, bertanggungjawab, berilmu selaras dengan tuntutan agama kita.
*Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3 Fakulti Alam Bina, juga merupakan Pengerusi Jabatan Perhubungan Luar dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia.
0 comments: