Oleh : Pena Pemuda
Salam Kewarasan,
Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi….” (Surah al-Baqarah : Ayat 30)
Rela dan terpaksa?. Saya ini mengulas beberapa perkara berkaitan dengan topik ini.Tajuk ini saya kecilkan dengan fokus perbincangannya kepada kepimpinan mahasiswa. Mungkin akan ada yang tertanya-tanya, kenapa hanya kepimpinan mahasiswa tuntutan rela dan terpaksa mahu dibongkar permasalahannya. Kenapa tidak kepimpinan rakyat marhain di luar kampus?
Baik, secara mudahnya jika diperhatikan kepada sasaran pembaca artikel ini, maka jawapannya mampu diperolehi. Justeru adalah lebih tuntas kiranya fokus kepimpinan tidak dicapahkan perbincangannya untuk memberikan suatu cetusan idea dan sekadar sebagai taaruf awalan kepada pembaca dalam ruang lingkup kecil dan lebih menumpu.
Kepimpinan mahasiswa diertikan sebagai kepimpinan yang diasaskan oleh rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Ia juga dikatakan sebagai medan latihan sebelum terjun ke medan sebenar. Apa pun yang mahu disampaikan dalam artikel kali ini adalah kepimpinan mahasiswa yang sifatnya adalah sukarela. Sekalipun ianya terpaksa tetapi tuntutan tanggungjawab seolah memaksa sesiapa sahaja yang dipundakkan amanah untuk melaksanakannya.
Justeru, saya ingin mengutarakan beberapa idea cadangan sebagai peringatan kepada semua pimpinan mahasiswa.Di harapkan gelombang-gelombang minda ini mampu mengimbangkan antara kerelaan untuk memimpin dan keterpaksaan samada atas desakan kepimpinan mahupun desakan persekitaran. Alang-alang berjuang biarlah diredai Tuhan.Kalau tidak RETORIK belaka.Tepuk dada tanya iman anda.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 36)
Pertamanya, saya ingin mengajak rakan-rakan pimpinan kolej,persatuan,kelab mahupun mana-mana organisasi dalam kampus untuk menilai konsep keikhlasan dalam bekerja.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal, ayat 27)
Keikhlasan amat penting dalam menjalankan taklifan kepimpinan. Tambah-tambah lagi kepimpinan mahasiswa yang telah diketahui situasi getirnya. Menjadi kepimpinan mahasiswa seolah memaksa diri untuk membahagikan kepentingan diri dengan orang ramai. Masa perlu dibahagikan, Wang saku bulanan juga perlu dikorbankan dan keseronokan serta privacy diri langsung diketepikan untuk memastikan amanah taklifan dilunaskan secara baik.
Semua itu memerlukan kata kunci dalaman yang namanya adalah keikhlasan. Mana mungkin pengorbanan yang ditagih tersebut mampu untuk dilaksanakan sekiranya tidak dipasakkan dalam hati Al-Ikhlas. Justeru, bicara atas nama keikhlasan tidak perlu dipanjangkan perbincangannya tetapi ia seharusnya dipasakkan dan diukir kemas di hati.
Hati-hati dalam melangkah dan meniti lorong berduri kepimpinan. Jangan sampai susah payah dan pengorbanan yang dibuat langsung ‘haba’an mansura’ kerana tidak didasarkan kepada keikhlasan. Keikhlasan juga adalah ubat dan penawar kepada keletihan kerana keyakinan bahawa setiap pekerjaan yang dilaksankan akan diganjar pahala oleh Allah.
Tinggal lagi kalaulah manusia juga memberikan penghargaan dan tasyrifan, maka hati-hati juga perlu diseiringkan dalam setiap langkah aturan. Andai celaan dan cacian yang dihidangkan, suka juga diingat supaya sabar dan teruskan perjuangan. Yang paling penting ikhlas perlu mengepalai setiap langkah dan kerja buat kita seharian kerana tugas kepimpinan ini akan semestinya dilihat orang dan diperkatakan samada positif ataupun negatif. Ikhlaskan niat.
Berikut apa yang ingin sentuh adalah berkaitan dengan satu tindakan yang perlu.Sedar atau tidak anda akan melakukannya.’Bina pengaruh’?
Dua kosa kata ini barangkali memberikan persepsi yang pelbagai dalam benak pembaca. Apa yang saya maksudkan dengan dua kosa kata ini adalah bagaimana setiap pemimpin perlu membina pengaruh dan melahirkan pelapis. Pengaruh perlu dibina bukan untuk tujuan peribadi tetapi demi kolektif kepimpinan yang diperjuangkan. Dengan kata lain, pengaruh perlu dibina untuk memastikan mahasiswa/i disatukan dalam sebuah bahtera yang selamat untuk menggapai mercu Mardhatillah.
Maksudnya, setiap pemimpin tidak hanya bekerja sendirian. Pemimpin yang baik akan membina kerja berkumpulan atau keterikatan kumpulan yang mantap. Sekirannya seorang pemimpin itu hebat dan punyai pakej lengkap sebagai pemimpin, ia hanyalah sebagai bonus dalam dunia kepimpinan. Yang paling penting adalah kebolehan untuk membina pengaruh dan membawa bersama ahli untuk bekerja bersama dalam satu pasukan.
Sabda nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin, dia ditanya tentang rakyatnya. Seorang lelaki itu pemimpin kepada ahlinya dan dia ditanya tentang rakyatnya. Seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah suaminya dan dia ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan dia ditanya tentang rakyatnya. Maka semua kamu adalah pemimpin dan ditanya tentang rakyatnya.” (Muttafaqun ‘Alaihi).
Hadis tersebut menjelaskan bahawa setiap individu adalah pemimpin dan akan dipersoalkan oleh Allah tentang amanah yang digalasnya. Cuma yang membezakan antara satu sama lain hanyalah posisi dan kebolehan. Justeru, pemimpin bukanlah perlu hanya memastikan dirinya sahaja yang memimpin dan menjalankan tugas kepimpinan tetapi perlu juga untuk membahagikan tugas kepimpinan pada yang selayaknya.
Maksudnya, pemimpinan sebenanrnya perlu bijak dalam membagikan tugas kepimpinan dengan pecahan-pecahan yang selayaknya. Kiranya pepimpin hanya hebat sendiri dengan meninggalkan orang lain, maka ia belum layak digelarkan kepimpinan. Bina pengaruh, lahirkan pelapis dan yang paling mustahak pastikan kepimpinan dijelamakan dalam bentuk yang kolektif.
Ramai sekali pemimpin yang dilahirkan kerana jawatan. Dengan mudahnya, seseorang pemimpin itu dianggap sebagai pemimpin kerana jawatan yang diberikan. Barangkali ada yang sedar bahawa tidak kurang juga pemimpin yang dihasilkan dengan kuasa pengaruh. Walau tidak berjawatan namun akan dirujuki sebagai pemimpin dalam menyelesaikan apa jua permasalahan. Justeru sama ada anda pemimpin lantikan secara rasmi berjawatan atau hanyalah sekadar pemimpin kampungan yang lahir daripada pengaruh ramai, yang paling penting keduanya-duanya perlu seiring dan bergandingan.
Tidak lengkap pemimpin berjawatan tanpa pengaruh ahli. Juga tidak sempurna pemimpin yang terbina dengan pengaruh ramai tanpa kuasa dan panduan. Justeru bina pengaruh dan pastikan pelapis juga turut dihasilkan.Apa yang lebih penting bagi kita sebagai pemimpin, muhasabah kembali sama ada kita pemimpin yang perlu dipimpin ataupun pemimpin yang boleh memimpin?.
Sebagai pemimpin juga,saya ingin menegaskan kita perlu tenang dalam sebarang tindakan.Apatah lagi ia adalah sifat baik yang perlu ada kepada setiap pemimpin. Pastikan kita sentiasa mempamerkan ketenangan dan kematangan ketika berhadapan dengan mereka yang dipimpin. Jangan sekali-kali menggunakan pendekatan emosional dan terburu-buru. Pandu minda dan hati serta ekpresikan wajah dan perilaku dengan teratur dan tenang.Jangan menggelabah.
Said Hawwa dalam kitabnya Jundullah Tanziman ada menggariskan panduan kepimpinan dalam kosa kata tenang dalam bertindak sebagaimana berikut (Hamka,2002) :
“ Sesiapa yang terburu-buru (isti’jal qabla awanihi), maka dia akan mengalami kerugian (u’qiba bihirmanihi)”
Justeru, pendekatan yang paling baik bagi seorang pemimpin adalah bertenang dalam setiap tindakan dan keputusan. Pastikan diri mampu dikawal agar tidak mengambil pendekatan agresif yang hanya merugikan kebolehan diri dan mencacatkan bakat kepimpinan. Tindakan terburu-buru juga akan menampakkan kebodohan pemimpin disamping akan merugikan sokongan pengaruh. Oleh itu, bertindaklah secara rasional dan tenang.Guna sebaik mungkin minda kurniaan Ilahi.
Sebelum mengakhiri kalam bicara ini, barangkali ada yang menelah setiap perkara yang dikongsikan di atas. Siapalah diri saya dalam memperkatakan soal kepimpinan.Cuma satu harapan agar yang baik dapat sama-sama dimanfaatkan dan ia hanyalah sekadar peringatan untuk diri dan semua sama ada yang telah,sedang mahupun akan bergelar.
Jadi, apa yang lebih penting bagi kita yang melabel atau dilabel sebagai pemimpin, perlu muhasabah kembali sama ada kita pemimpin yang perlu dipimpin ataupun pemimpin yang boleh memimpin?.Sekian.
penapemuda – dari bertatih cuba berjalan kemudiannya berlari..
0 comments: