Laporan oleh : Abdul Azim Bin Abd Jamil
Skudai,9 Jan 2010 – Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUTM) mengutuk sekeras-kerasnya terhadap perbuatan membakar tiga buah gereja di Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati; Gereja Assumption Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara. Insiden membaling bom buatan sendiri ke atas tiga gereja tersebut jelas memalukan pihak PMIUTM yang menganggap perbuatan tersebut menjatuhkan air muka rakyat Malaysia yang diajar mencintai kedamaian.
Presiden PMIUTM, Saudara Mohd Khairul Bin Abdullah Halim ketika ditemui berkata dengan nada tegas dan komited bahawa pihak PMIUTM menganggap individu-individu yang melakukan perkara ini sebagai melakukannya berdasarkan emosi dan bukan pertimbangan agama.
“Saya mewakili PMIUTM mengutuk sekeras-kerasnya insiden yang berlaku ini. Islam tidak pernah menganjurkan umatnya untuk melakukan perkara seperti ini. Islam sendiri mengarahkan tentera-tenteranya agar tidak membakar dan memusnahkan rumah-rumah ibadat penganut agama lain ketika peperangan. Jadi, jelas bahawa sekiranya individu-individu yang melakukan perbuatan membakar tiga gereja tersebut adalah daripada umat Islam maka mereka jelas tidak faham apa yang dianjurkan oleh Islam dan melakukannya berdasarkan emosi semata-mata dan tidak menjadikan Al-Quran serta As-Sunnah sebagai panduan.
“PMIUTM juga mengharapkan isu ini tidak dipolitikkan untuk kepentingan mana-mana pihak. Kami juga tidak mahu mana-mana pihak bercakap tanpa kefahaman yang jelas terhadap isu ini. Perbuatan tersebut boleh mengeruhkan lagi keaadaan.
“Atas dasar itu, PMIUTM tidak mahu isu ini berlanjutan dan ia harus diselesaikan dengan cara yang cukup baik dan harmoni. PMIUTM juga membuka ruang seluasnya kepada persatuan mahasiswa agama lain untuk duduk berbincang bersama kami bagi memastikan keharmonian antara agama dapat dijaga dan mengelakkan persengketaan.
Sementara itu Naib Presiden 2 PMIUTM, Saudari Saidatun Nor Binti Awang juga bersependapat dengan Presiden PMIUTM. Beliau yang mewakili suara mahasiswi Islam UTM turut melahirkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku ini.
“Mahasiswi Islam UTM kesal dengan apa yang berlaku. Individu-individu yang melakukan perkara ini sengaja mahu mencetuskan sengketa antara agama. Mereka berfikiran sempit dan tidak melihat kesan jangka panjang yang bakal dihadapi akibat tindakan mereka ini.
“PMIUTM juga melalui Lujnah Penerangan dan Multimedia (LPM) juga sedang cuba untuk menghantar satu kertas kerja memohon kelulusan bagi melakukan forum atau ceramah jelas isu terhadap isu ini. Pihak kami mengharapkan kertas kerja ini diterima agar isu ini dapat diperjelaskan kepada mahasiswa Islam kampus UTM supaya tidak timbul bibit-bibit persengketaan terhadap agama lain dikalangan mahasiswa Islam kampus.
Dalam kejadian tengah malam semalam,pejabat pentadbiran di tingkat bawah bangunan gereja tersebut hangus terbakar.Kerosakan tersebut sangat teruk sehingga mengakibatkan keseluruhan bangunan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi.
sumber : pmiutm.blogspot.com
0 comments: