Siapa itu mahasiswa??

Posted by Utm Today Tuesday, January 12, 2010


Oleh : Abdul Hadi Alias

Kata-kata tokoh revolusi terkenal dunia banyak dikaitkan dengan anak muda. Kata-kata Sukarno, Pak Engku Aziz dan lain-lain tentang kepentingan anak muda antara yang paling popular di kalangan mahasiswa. Kata-kata ‘keramat’ ini masih diungkapkan sehingga kini, terutama di kalangan pendokong-pendokong gerakan mahasiswa.

Reality check

Hakikat mahasiswa sebagai check and balance agent kepada pimpinan semasa samada daripada kerajaan atau pembangkang pada hari ini sebenarnya suatu mimpi di siang hari. Ia seolah-olah membangga-bangga pencapaian lalu sedang hakikat mahasiswa kini tidak lain hanyalah suatu entiti yang dipandang enteng oleh pihak pemimpin terutama di pihak kerajaan. Cerita-cerita ‘demonstrasi Baling’ dan kebangkitan mahasiswa di era 80-an masih menjadi ‘motivasi’ kepada golongan mahasiswa untuk bangkit memacu perjuangan mahasiswa yang kian suam.

Isu-isu dicipta bagi membangkit semangat mahasiswa untuk bangun dan kembali menyengat. Hakikatnya, isu-isu ini hanya mendapat perhatian daripada sebilangan kecil mahasiswa. Mahasiswa pro-pembangkang lebih mudah terpengaruh dengan isu-isu peringkat mahasiswa ini berbanding dengan mahasiswa pro-kerajaan yang kelihatan lebih senang menggunakan kelebihan yang ada pada mereka selaku pro-kerajaan tanpa perlu terlalu menonjol. Namun, lebih ramai memilih untuk tidak menyokong mana-mana pihak, dengan memberikan pelbagai alasan termasuk tekanan akademik dan tidak ’suka’ akan politik.

Mahasiswa mencari-cari isu yang boleh menyatukan semua mahasiswa di seluruh negara, supaya mahasiswa menjadi suatu kuasa besar yang tidak boleh dipandang mudah oleh pemimpin masa kini. Namun, dalam keghairahan mahasiswa mengejar isu, kadang kala kelihatan keterlaluan dan dibuat-buat.

Taboo


Situasi yang melanda gerakan mahasiswa seharusnya dipandang dengan lebih serius. Mahasiswa tiada ruang dan peluang untuk bercakap, menyumbang dan paling menyedihkan tiada ruang untuk berfikir tanpa pengaruh luar. Program-program mahasiswa disekat, dan percambahan ilmu di kalangan mahasiswa hanyalah sekitar subjek pembelajaran masing-masing.

Politik adalah taboo di kalangan mahasiswa, hinggakan menjemput ahli politik berdiskusi dilihat suatu dosa besar di kalangan gerakan mahasiswa. Tekanan-tekanan sebegini betul-betul mengganggu gerakan mahasiswa dan akhirnya, mahasiswa penat dan letih dalam bergerak kerja dan lebih ramai mahasiswa lebih gembira untuk mengfokuskan usaha kepada akademik semata-mata.

Pihak pentadbiran dilihat memilih apa yang boleh difikir dan apa yang boleh dibuat oleh mahasiswa. Program-program tipikal seperti program anak angkat, gotong royong dan konsert kebudayaan dibanyakkan dengan menolak program-program yang dilihat boleh membawa mahasiswa ke suatu pemikiran yang lebih matang dan dewasa.

Terbaru, program Forum Terbuka Bantah E-Voting (BANTAH) mendapat sekatan maksimum daripada pihak universiti dan akhirnya ditarik balik kelulusan program daripada pihak universiti. Panelis utama, Prof Aziz Bari juga akhirnya akur dengan tekanan semasa dan menarik diri daripada forum tersebut. Forum ini, yang merupakan antara program mahasiswa paling releven sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini menjadi mangsa kejumudan pihak pentadbiran yang tidak mahu mahasiswa bersuara dan berfikir dengan otak sendiri.

Omong-omong kosong?

Peliknya, ruang-ruang program bercorak hedonism tidak pernah disekat. Konsert-konsert dengan mudah masuk ke dalam kampus. Bahkan, gerakan menghalang konsert daripada diadakan di dalam kampus dilihat suatu usaha primitif dan ketinggalan zaman. Artis-artis dengan mudah dijemput ke dalam program kampus. Kampus sebagai pusat ilmu tidak pula dilihat ‘terganggu’ dengan kehadiran artis-artis yang kebanyakannya tidak berlatar belakangkan sebagai ahli akademik.

Imej Mahasiswa/Pelajar

Imej mahasiswa yang digambarkan di televisyen, akhbar dan lain-lain medium perhubungan ialah sekumpulan manusia berusia muda yang dibolehkan tergedik-gedik, pentingkan cinta monyet berbanding perkara negara dan tidak perlu susah payah menyertai gerakan mahasiswa kerana itu semua lapok.

Pelajar universiti digambarkan memakai baju ketat berwarna warni dan sibuk kejar mengejar cinta di ‘kolej’ masing. Tiada gambaran dalam mana-mana drama televisyen bahawa mahasiswa itu bergerak dalam gerakan dakwah di kampus atau gerakan mahasiswa. Semua gambaran yang ada seolah-olah berkiblatkan barat semata-mata. Mentaliti dan gambaran ini ditanam sejak awal di kalangan pelajar terutama lepasan SPM yang bakal melanjutkan pelajaran ke IPT-IPT seluruh dunia.

Akhirnya, mahasiswa semakin lesu dan semakin lemas dalam kolam buatan sendiri.

Walaupun gerakan mahasiswa kelihatan masih releven, tersusun dan pelbagai, namun hakikat pahitnya, gerakan ini dipelopori sebilangan kecil, bahkan amat kecil daripada kalangan mahasiswa. Sebutlah apa sahaja nama gerakan mahasiswa, semua gerakan itu dipelopori orang yang sama, daripada kelompok yang sama dan berpusing di kalangan mereka yang sama. Kelompok lebih besar masih begitu, dibuai keindahan kehidupan sebagai ‘anak muda’.

Saya bukan pendokong gerakan mahasiswa, malah pernah memandang sinis gerakan mahasiswa yang kadang kala ‘lebih sudu dari kuah’ tapi perkembangan semasa amatlah menyedihkan malah membimbangkan.

Tekanan keterlaluan kepada gerakan mahasiswa perlu dihentikan serta merta. Generasi muda inilah yang perlu dibentuk untuk menjadi pemimpin masa hadapan, jika tidak masa kini sekalipun. Menyekat kebebasan mahasiswa seolah-olah memberi acuan yang sama kepada semua mahasiswa, yang akhirnya menjadi robot yang mementing perut sendiri tanpa memikirkan masalah semasa negara. Buktinya sudah ada, bilangan mahasiswa yang mendaftar sebagai pemilih amat rendah, dan mereka tidak pernah ambil tahu pasal itu.

Akhirnya, negara hancur lebur di tangan perasuah!!!

0 comments:

Post a Comment

Facebook UTM Today

About Me

Utm Today
UTM Today akan memaparkan kepada anda berita-berita disekitar kampus UTM sama ada berita universiti, persatuan-persatuan dan juga aktiviti-aktiviti serta suara-suara mahasiswa. Sebarang berita dan suara-suara anda yang ingin disampaikan kepada kami boleh di hantar ke utmtoday10@gmail.com
View my complete profile

Apa wajar mahasiswa dibenarkan berpolitik? apa pandangan mahasiswa UTM?

Pilihanraya kampus UTM

Pilihanraya kampus UTM

Ingin berkongsi dengan kami??

Ingin berkongsi dengan kami??

Web Site Hit Counter

Komen dan pandangan


ShoutMix chat widget

Gelagat Mahasiswa

Gelagat Mahasiswa

Blog Archive