Menyemarak budaya inovasi masyarakat

Posted by Utm Today Sunday, January 17, 2010
Berita Harian - Rencana (Minda Lestari), Jumaat 8 Januari 2010
Oleh Prof Dato'Ir. Dr Zaini Ujang ( zaini@utm.my)

2010 adalah Tahun Inovasi. Justeru pada peringkat nasional pelbagai dasar, strategi dan inisiatif baru diperkenalkan, termasuk pelancaran Pusat Inovasi Negara pada bulan depan. Banyak program direncana untuk membolehkan model ekonomi negara dipacu berasaskan kepada kreativiti, inovasi dan nilai tinggi.

Selain itu, pelbagai agensi dan seluruh warga Malaysia perlu memahami bahawa langkah kerajaan menjadikan 2010 sebagai Tahun Inovasi mempunyai pengertian lebih luas daripada sekadar slogan, atau azam tahun baru. Inovasi perlu diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan, sektor dan organisasi untuk membentuk ekosistem inovasi.

Sehubungan itu, saya menyampaikan amanat tahun baru kepada warga UTM berjudul Berpaksi Inovasi, Mengangkasa Universiti, Menjana Nilai Tinggi. Ucapan itu dirangka sedemikian rupa untuk menterjemahkan Tahun Inovasi dalam konteks organisasi UTM. Secara tersirat, UTM sudah memulakan langkah membina ekosistem inovasi selaras dengan penjenamaan dan cogan kata baru sejak 2009, iaitu ‘menjana minda kreatif dan inovatif’.

Ramai pakar pengurusan berpendapat bahawa perkembangan sesebuah organisasi banyak bergantung kepada tiga faktor utama, iaitu strategi, struktur dan budaya. Strategik dalam konteks inovasi ialah kaedah terbaik, terpantas dan termurah untuk mencapai sesuatu objektif menerusi penjanaan nilai dan impak tinggi dengan mengambil kira faktor persekitaran dan objektif sesebuah organisasi.

Faktor kedua ialah struktur organisasi yang perlu dirangka semula sesuai dengan strategi baru. Menurut profesor dari Harvard, Richard Vietor dalam buku How Countries Compete: Strategy, Structure and Government in the Global Economy, “strategi tidak berguna tanpa struktur organisasi yang mampu untuk melaksanakannya”. Pada hemat saya, untuk menyuburkan ekosistem inovasi maka seluruh sektor dan agensi perlu menilai semula, dan kalau perlu mengubah struktur organisasi sesuai dengan strategi dan sasaran baru.

Faktor ketiga ialah budaya organisasi yang perlu mempunyai tahap ‘kebolehbelajaran’ yang tinggi. Ini bermakna budaya warga organisasi mestilah sentiasa menghargai nilai dan sumur ilmu, berlumba-lumba mendapat dan menghayati ilmu, dan sentiasa menjadi pencinta ilmu. Ilmu adalah teras kreativiti dan inovasi.

Selain itu, organisasi akan menjadi cekap dan berkesan apabila seluruh warga organisasi bekerja secara kolektif untuk memberi makna sebenar kepada budaya inovasi yang juga salah satu nilai aspirasi 1Malaysia. Untuk menjadi bangsa maju, kita tidak lagi boleh menjadi pemerhati atau sekadar pengulas kepada perkembangan semasa. Kita perlu menyedia dan menawar diri menjadi pemangkin perubahan memacu kecemerlangan dalam suasana ekonomi global kian kompetitif.

Stephen R Covey menerusi The Seven Habits of Highly Effective People memperihalkan tujuh tabiat orang efektif, iaitu proaktif, matlamat sebagai sasaran minda, mempunyai urutan keutamaan, fikir menang-menang, fahami orang lain sebelum kita difahami, sinergi dan memantapkan keupayaan diri.

Covey tidak berhenti setakat itu. Menerusi buku The Eighth Habit: From Effectiveness to Greatness, beliau menyebut satu lagi tabiat penting untuk membolehkan kita meningkat daripada efektif kepada seorang yang hebat, iaitu membantu orang lain untuk menjadi efektif dan mencapai kecemerlangan.

Pada peringkat individu, warga organisasi perlu menyemarakkan budaya membantu orang lain. Hal ini menjadi resam organisasi cemerlang. Kita membantu secara rela hati supaya seluruh warga organisasi boleh belajar dan bekerja lebih berkesan dan menyeronokkan menerusi pendekatan lebih inovatif. Kita bantu membantu untuk melaksanakan tugas, bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

Hari ini lebih baik daripada semalam. Itu mantera pendorong untuk kita sentiasa memperbaiki diri dan berubah. Banyak inisiatif baru memerlukan perubahan. Kita perlu berubah untuk menjadi bangsa inovasi untuk menghadapi persaingan global. Kita juga perlu berubah menjadi warga organisasi lebih produktif dan cemerlang.

Hakikatnya kita tidak perlu menunggu tempoh tertentu untuk berubah: akhir tahun atau awal tahun. Kita perlu berubah apabila kita merasakan diri kita tidak berubah. Apabila kita tidak mampu lagi berubah bermakna kita akan ketinggalan, sekali gus terlepas peluang untuk menjadi pemangkin zaman. Berubah bermakna kita bersedia untuk memperbaiki diri dan organisasi, dan sanggup bersaing dalam ekosistem inovasi.

Selain itu, budaya kerja berpasukan perlu diberi penekanan untuk menjana nilai tinggi, kesatuan minda, sinergi dan tindakan dengan mengambil kira keupayaan semua ahli kumpulan. Hasilnya ialah transformasi. Perlu juga ditegaskan bahawa budaya kerja berpasukan tidak bermakna kita mematikan bakat atau keupayaan istimewa seseorang individu. Malah, kita perlu menyedia ekosistem intelektual sesuai membantu orang lain cemerlang.

Antara pendekatan menuju kesatuan minda ialah menerusi sesi wacana atau perbincangan berkala bagi menyelesaikan apa saja cabaran, mengenal pasti peluang dan inisiatif baru. Namun resam berwacana di Malaysia masih banyak perlu diperbaiki. Banyak pihak mengeluh apabila menerima undangan berwacana atau bermesyuarat kerana sering kali tidak dirancang dengan baik, pengerusi ‘berkhutbah’, jawatankuasa kecil tidak berfungsi, komunikasi sehala dan terlalu lama.

Memang resam ini tidak menggalakkan percambahan fikiran dan penjanaan idea memacu organisasi. Penyumbang idea kadang-kala ditanggapi secara sinis, tambahan pula lagi jika pengungkapannya tidak bernas, apatah lagi jika menyengat. Ada juga mesyuarat menjadi medan mempertaruhkan idea dan keegoan.

Seharusnya mesyuarat menjadi medan menghidupkan ekosistem inovasi yang segar, meriah, intelektual, inovatif, beradab dan bertanggungjawab. Itu sebabnya sesi perbincangan dan mesyuarat adalah salah satu instrumen terpenting untuk mencungkil idea dalam konteks ekosistem inovasi.

Biodata Penulis: Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor UTM dan penulis buku Berpaksi Inovasi, Mengangkasa Universiti, Menjana Nilai Tinggi

Sumber : Naib Canselor UTM

0 comments:

Post a Comment

Facebook UTM Today

About Me

Utm Today
UTM Today akan memaparkan kepada anda berita-berita disekitar kampus UTM sama ada berita universiti, persatuan-persatuan dan juga aktiviti-aktiviti serta suara-suara mahasiswa. Sebarang berita dan suara-suara anda yang ingin disampaikan kepada kami boleh di hantar ke utmtoday10@gmail.com
View my complete profile

Apa wajar mahasiswa dibenarkan berpolitik? apa pandangan mahasiswa UTM?

Pilihanraya kampus UTM

Pilihanraya kampus UTM

Ingin berkongsi dengan kami??

Ingin berkongsi dengan kami??

Web Site Hit Counter

Komen dan pandangan


ShoutMix chat widget

Gelagat Mahasiswa

Gelagat Mahasiswa

Blog Archive