Oleh : Muhammad Zaki
Minggu lepas, saya menaiki Euro Star dari Stesen Antarabangsa St. Pancras, London ke Paris. Selepas selesai urusan imigresen, saya telah ditahan untuk disoal oleh seorang pengawai keselamatan. Tiada yang pelik dengan tindakan begini, kecuali saya seorang sahaja diminta berhenti dan disoal di kalangan ribuan penumpang lain. Saya amat maklum akan kehilangan banyak masa di sini jadi saya hanya berdiri di sisi dia sambil melihat siapa lagi yang akan ditahan.
Dalam 40 minit, dia hanya menahan 2 orang lagi. Orang yang pertama adalah lelaki tua yang mudah dikenali sebagai orang Islam; berjambang, topi cap, berpakaian sedikit lusuh, orang Arab(saya fikir dari Tunisia). Seorang lagi adalah orang yang menimbulkan ancaman keganasan dalam hati setiap pegawai keselamatan; seorang wanita Islam yang bertudung. Inilah agaknya perkara yang sejak berdekad lalu dikenali ke atas kami orang Islam. Kita secara sejagatnya dianggap sebagai objek yang disyaki dan sasaran untuk disoalsiasat.
Perkara di atas dialami oleh Ziauddin Sardar, seorang pemikir dan penulis bebas. Antara buku beliau; Desperately Seeking Paradise, Balti Britain : A Provocative Journey Through Asian Britain.
Perkara utama disebalik wujudnya persepsi ini ialah tindakan kejam yang memulakannya; iaitu serangan di New York dan Washington pada 11 September 2001. Ianya tidak mengejutkan kerana sejak dekad yang lepas banyak sahaja berlaku serangan yang menimbulkan kesan yang sebegini. Kebanyakan perkembangan positif dan negatif dalam dunia umat Islam sejak sepuluh tahun yang lepas boleh diikuti dengan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku.
Keganasan bukan merupakan sesuatu yang baru bagi dunia umat Islam. Ia merupakan satu masalah sebelum 9/11 lagi. Di Pakistan, Kashmir, Mesir dan Palestin, putaran keganasan yang disebabkan oleh mazhab, ideologi dan serangan telah banyak meragut nyawa yang tidak terhitung. Di Chechnya, Bosnia dan kawasan Palestin yang dijajah; mangsanya merupakan orang Islam; dalam negara yang dikatakan 'menaja' keganasan. Dan sememangnya majoriti mangsa yang dianiaya secara dalaman dan luaran, mental dan fizikal adalah merupakan orang Islam.
Tapi kejadian 9/11 membuka lembaran baru. Ia bermula dengan kumpulan masalah yang telah wujud sejak sekian lama. Lebih dari pada satu generasi, sekurang-kurangnya sejak daripada Revolusi Iran, retorik politik dalam dunia umat Islam berubah daripada fahaman kebangsaan untuk kemerdekaan dan kebebasan; kepada usaha-usaha agresif dan berunsur militan dengan alasan untuk menegakkan Islam. Sebagai respon kepada peristiwa 9/11, 'War On Terror' atau Perang Terhadap Keganasan dilancarkan oleh Amerika, membawa ketegangan politik di seluruh dunia ke suatu peringkat lebih tinggi
Perang ke atas keganasan ini sebenarnya menghasilkan lebih banyak keganasan. Perang yang mengakibatkan banyak kehancuran ini memberi kesan kepada realiti sebenar masyarakat Islam dan juga membangkitkan kesedaran mereka. Ia bukan sahaja merubah sejarah di Iraq, Afghanistan dan Pakistan tetapi juga batu loncatan kepada kebangkitan semula Taliban dan terbitnya kumpulan baru berunsur militan seperti Jemaah Islamiyyah dan Shabab di Afrika. Ia juga memberi inspirasi untuk Al-Qaeda wujud di Eropad dan Amerika. Kebencian dunia Islam terhadap Amerika merupakan kesan langsung daripada Perang Terhadap Keganasan, ia juga mengalihkan tumpuan masyarakat Islam daripada masalah ekonomi, politik dan sosial yang banyak bersarang dalam negara mereka
Setiap tindakan pasti ada kesannya. Reaksi orang Barat terhadap 'pengganas Islam' di Iraq dan Afghanistan menambahkan lagi pandangan negatif kepada Islam dan penganutnya. Ketakutan dan kejijikan terhadap orang Islam merupakan perkara yang terbentuk dalam minda masyarakat Eropah apabila dikhabarkan tentang Islam.
Kempen keganasan berdarah dan ancaman terhadap Barat oleh sekumpulan pihak yang mendakwa memperjuangkan Islam meningkatkan lagi perasaan anti-Islam dan anti-Muslim serta menjauhkan lagi masyarakat Eropah terus ke dalam 'kegelapan' hidup mereka. Mereka semakin jauh dengan Islam dan umatnya. Pihak Orientalis menyatakan akan berlaku sesuatu yang disifatkan sebagai radikal, terkebelakang dan pencabulan hak terhadap Muslim dan sekarang perkara itu sedang berlaku; ianya dikenali sebagai Islamphobia; zalim, diskriminasi agama terang-terangan dan sikap perkauman yang memuncak.
Islamphobia di Eropah juga semakin meningkat sejak peristiwa pengeboman London pada 7 Julai, 2005. Penulisan oleh Open Society Institute, 'Muslim In Europe: A Report On 11 EU Cities' menunjukkan prejudis dan diskriminasi adalah perkara rutin yang dihadapi orang Islam Eropah lebih-lebih lagi berketurunan Timur Tengah. Keadaan ini berlaku setiap hari di Antwerp, Berlin, Copenhagen, Paris dan Stockholm.
Parti politik juga menunjukkan kecenderungan anti-Muslim secara terbuka di seluruh Eropah - dari Denmark ke Itali, Belgium, Jerman dan Britain. Sehinggakan parti politik berhaluan sederhana turut menyatakan sikap anti-Muslim secara berterusan; bahawa kebudayaan asli mereka telah dicemari oleh kebanjiran makhluk asing, 'alien' dan permusuhan terhadap mereka yang tidak serasi dari segi sikap dan pandangan tentang jantina, persamaan gender dan kebebasan berkarya.
Jika ingin disenaraikan semua yang berlaku, pastinya memakan masa yang lama. Cuma, bilakah semua ini akan berakhir? Seorang yang optimis pasti berasa yakin jalan penyelesaian akan ditemui. Bagi seorang yang tidak sabar, pedang mesti terus diangkat. Bagi seorang ilmuwan, dialog dan perbincangan adalah jalan bagi mencari titik pertemuan. Bagi mahasiswa pula?
Sukar untuk diberi jawapan yang mana dengan jawapan itu semua masalah di atas boleh diselesaikan. Pertembungan antara dua tamadun dan agama tidak boleh diselesaikan dengan hanya membaling molotov cocktail ataupun membakar dan memecahkan cermin bangunan. Pihak yang berkepentingan dan mempunyai agenda tertentu pastinya mahu melihat pertelagahan ini terus berlaku.
Dan tindakan mengancam keselamatan pihak lain dan cubaan mewujudkan huru-hara merupakan sesuatu yang tidak bermoral. Jika kita fikirkan hanya dengan tindakan fizikal sahaja kita boleh selesaikan masalah, saya risau kita akan kembali ke zaman batu.. Dan jika memang itu yang terkandung dalam kotak fikiran kita, maka persepsi Islamphobia pasti akan bertahan untuk 50 tahun lagi..
0 comments: